Sabtu, 30 November 2013

Dunia Yang Setitis...

Allah beri dunia pada orang yang disukaiNYA. Allah juga beri dunia pada orang yang dibenciNya. Tapi Allah beri agama pada orang yang disayangiNYA.

Dunia itu permainan. Dunia itu hanya hiburan. Sebaik-baik hiburan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri solehah.

Rabu, 27 November 2013

Bertahanlah Kerana Cintakan Allah

Belajarlah membebaskan, bukan mengikat. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, tiada lagi cinta berapi yang berasaskan keinginan biologi dan fisiologi. Ketika warna sebenar (true colour) pasangan kita semakin terserlah hari demi hari, adakah kita mampu bertahan dan bersabar atas kelemahan dan kekurangan pasangan kita yang sudah bertahun-tahun kita hadapi?

Ingatlah, jika pasangan kita ada kerenahnya, apa kurangnya kita? Jangan kesabaran kita sahaja yang dikirakan. Kesabaran pasangan kita terhadap kerenah kita juga wajar dipertimbangkan. Suami merupakan cermin kepada si isteri. Dan begitulah sebaliknya. Hubungan kesalingan ini menunjukkan bagaimana perangai dan akhlak pasangan yang ditakdirkan untuk bersama kita.

Jadi , Jangan cepat menyalah atau mengalah. Sebaliknya banyakkan muhasabah diri. Sedarlah bahawa kelemahan atau keburukan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya bukan sahaja tidak dingini oleh kita tetapi juga oleh diri mereka sendiri. Mereka pun pada hakikatnye sedang berhempas pulas untuk mengatasi kelemahan atau keburukan itu.

Kalau begitu, adalah lebih baik sekiranya kita membantu darpada  'membuntukan' mereka.

~ Ustaz Pahrol Muhamad Juoi
Buku; CINTA KERANA ALLAH

Isnin, 25 November 2013

Yang Mana Hati Kita?

Hati itu ada  empat macam, iaitu;
~hati yang terang seperti lampu, itulah hati orang mukmin.
~hati yang gelap dan terbalik, itulah hati orang kafir
~hati yang tertutup dan terikat pada tutupnya, itulah hati munafik
~hati yang berlapis di mana terdapat sifat iman dan sifat munafik. Perumpamaan iman di dalamnya seperti tanaman yang tumbuh oleh air yang baik. Perumpamaan sifat munafik seperti luka yang membesar kerana nanah dan air nanah. Maka yang mana di antara kedua benda itu yang dominan, iapun dihukum sesuai dengan yang dominan itu.

.. Ringkasan Ihya Ulumuddin..

Jumaat, 22 November 2013

Tarikh Keramat Tulang Rusuk!

1 Disember bakal tiba. Kira-kira seminggu lagi. Tarikh keramat saya dan dia, pemilik tulang rusuk. 25 tahun itu panjang bagi yang hidup menderita. Tapi tak terasa bagi yang sebaliknya.

Teringat kata-kata, " Happy marriage is union of two forgivers". Ya! Kata-kata itu banyak kebenarannya. Bahagia itu bukan ujud begitu saja. Rahmat Allah menjadi paksinya.  Dengan rahmatNYA, bahagia itu dibina...dibaja...disirami dengan kasih sayang yang tidak melebihi kasih sayangNYA...dikawal dengan kemaafan yang ada kala menyesak dada.

Perkahwinan bukan sekadar tanda cinta. Tapi binaan syurga dunia untuk meraih syurga di Negara Abadi.

~syahdina muza

Khamis, 21 November 2013

Jangan Rasa hebat...Kita Banyak Dosa!

Wahai anakku,
Janganlah kamu rasa hebat terhadap dirimu kerana kamu tidak lebih hanyalah hamba yang hina di sisi Tuhanmu. Kita tidak lebih dari hamba yang banyak dosa di sisi Allah. Kita hanya insan kerdil yang akan berdiri di hadapan Allah di padang yang maha luas. Kita hanya insan yang akan menggigil ketakutan, bilamana segala dosa dibentangkan. Kita akan merayu-rayu mengharap keampunan Allah b...
ilamana segala kesalahan dibentang satu-persatu. Kita akan mengutip setiap pahala di padang Mahsyar bagi menolong kita sewaktu dihisab.

Kita akan saling lari antara satu sama lain, kerana dosa antara kita. Kita akan merangkak di hadapan Tuhan, kita akan merayu dalam tangisan terhadap ketentuan nasib yang semakin dekat. Kita akan kekeringan di tengah panasnya mentari. Kita akan kelaparan yang panjang tanpa sebarang makanan. Kita akan kehausan tanpa bekalan minuman. Kita akan menanti giliran untuk dihisab. Hisaban yang sangat mencemaskan. Hisaban yang tiada sogokan. Hisaban yang semua mata akan menumpu kepada kita. Hisaban yang menentukan nasib kita selepas itu. Hisaban yang menyebabkan semua yang berdosa akan cuba lari darinya. Selepas itu wahai anakku, kita akan melaluinya. Kita akan menempuhinya, kita akan dipaksa menitinya. Itulah yang amat menggerunkan, menakutkan, mengharap keselamatan. Itulah titian sirat.

Wahai anakku,
Semua orang tidak lagi mempedulikan apa yang ada di sekelilingnya. Tubuhmu tidak akan mampu lagi berdiri. Kakimu akan menggeletar ketakutan di atas titian sirat. Jauhnya perjalanan, sempitnya laluan dan halusnya titian.

Wahai anakku,
Aku mengharapkan keselamatan yang tidak pernah aku mengharap sedemikian pada saat itu. Aku tidak akan mendoa untuk orang lain pada waktu itu, melainkan diriku. Aku tidak akan ingat sesiapa lagi pada saat itu, walaupun Rasul yang paling aku kasihi. Itulah kedahsyatan yang aku tidak mampu untuk menulisnya lagi.

Ya Allah,
Aku memohon rahmatmu di saat itu untuk diriku dan semua yang aku sayangi. Tanpamu aku tidak akan selamat. Tanpamu aku tidak mampu berdiri. Tanpa redhamu, aku tiada apa-apa lagi di kala itu.

Ya Allah,
Selamatkan aku dan orang yang aku sayang di saat nerakaMu dinyalakan.

Senyum


~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

'Tetapi'... itu Penawar

Wahai anakku,
Ramai yang pandai menggunakan perkataan "tetapi", tapi cara penggunaannya selalu untuk membawa berita buruk pada penghujung berita yang baik.

Alangkah baiknya, tatkala kamu mengumpat seseorang, mengkritik seseorang kamu juga erti menggunakan perkataan "tetapi" untuk menyatakan kebaikan yang dilakukan seseorang itu.

Perkataan "tetapi" yang digunakan dengan cara betul dan mempositifk...
an sesuatu boleh menjadi penawar kepada rasa benci dan tidak suka yang bakal tertanam di hati kerana berkata buruk mengenai seseorang.

Jagalah air liur yang kamu telan semasa berkata-kata mengenai seseorang. Apakah itu air liur madu yang menyebabkan kamu berasa riang mengeratkan hubungan, atau air liur beracun yang menyebabkan kamu berasa benci, cemburu, dengki dan merosakkan hubungan?

Senyum


~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Di mana Boleh Mencari kegembiraan?

Wahai anakku,
Satu ketika dulu, engkau tercari-tercari makna kegembiraan. Di mana boleh mencari kegembiraan, engkau bertanya.

Aku membawamu ke satu hutan kecil, lalu diberikan kamu satu sudu dan dua titik minyak di atasnya. Aku menyuruhmu merentas hutan tersebut dan pastikan dua titik minyak itu tidak tertumpah.

Wahai anakku,
Selepas sejam, engkau kembali dengan sudu dan dua titik minyak yang ma...
sih tidak tertumpah. Aku bertanya, nampak tak ada sarang tebuan yang cantik di tengah hutan?

Engkau perasan tak ada sebuah rumah atas pokok di belah kanan jalan rentas hutan itu? Perasan tak di tengah hutan, aku gantungkan satu papan kata doa di tengah jalan?

Engkau tertunduk malu. Aku menyuruhmu kembali ke hutan melihat semua yang diceritakan aku.

Wahai anakku,
Selepas sejam, engkau kembali. Kamu berkata kamu berjaya melihat semua yang disuruh. Aku bertanya di mana dua titik minyak itu. Engkau tidak sedar dua titik minyak yang diberi sudah tertumpah.

Engkau tertunduk malu lagi. Lalu, masihkah kamu ingat kata-kata aku sewaktu itu?

“Kegembiraan ialah boleh menikmati apa yang ada di dunia tanpa melupakan dua titik minyak di atas sudu. Sebagaimana hidup kita, kita boleh sibuk dengan pelbagai perkara duniawi, tapi jangan tiada masa dengan Allah dan jangan tinggal Quran tidak dibaca melebihi tiga hari.”

Wahai anak kesayanganku, sekiranya kamu menemui kebuntuan di dalam hidupmu, ingatlah cerita ini. Diharap ini dapat memberikan jawapan kepada segala masalah hidupmu tatkala aku tiada lagi untuk menceritakannya kepada kamu.

Senyum


~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Ilmu itu Minyak pada Karakter Kita

Apakah cahaya kepada kematangan dan kebijaksaan sese-orang?

Ilmu. Ia adalah kehidupan untuk jiwa kita dan minyak kepada sifat dan karaktor kita.

(Quran 6: 122)
“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, ...
dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).”

Orang yang jahil selalu hidup dalam kebosanan dan kemurungan kerana tiada cetusan idea untuk memberikan se-suatu yang baru dalam kehidupan.

Bagi orang jahil:
Semalam = Hari ini = Esok.

Jika inginkan kebahagiaan dalam kehidupan, timbalah ilmu dan pencerahan - nescaya kebimbangan, kemurungan, kesedihan akan meninggalkan kita.

(Quran 20: 114)
“Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.”

Jangan termenung bila ada waktu lapang. Bacalah Quran jika tiada buku lain yang diminati.

(Quran 96: 1)
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).”

Senyum


~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Sahabat Yang Baik Mengingatkan kita pada Akhirat

Wahai anakku,
Janganlah engkau rasa hebat bersahabat dengan mereka yang mendurhakai Allah dan menjauhkan manusia dari jalanNya. Kerana engkau akan menempah jalan yang dimurkai Allah. Janganlah engkau kagum dengan seseorang yang memperolehi harta melalui jalan yang diharamkan Allah, kerana setiap perbelanjaannya tidak diterima oleh Allah. Tindakan kamu mendekati mereka dan bergaul mesra dengan mer...eka akan menjauhkan kamu dari golongan yang dikasihi oleh Allah, dan mendekatkan kamu kepada kemurkaan Tuhanmu.

Wahai anakku,
Janganlah engkau pisahkan dirimu dari jamaah yang memperjuangkan Islam, walaupun mereka kelihatan lemah, tiada permaidani merah yang menghampar mereka, namun mereka dekat dengan Allah. Perhatikanlah pergaulanmu dengan semua sahabatmu, berjalanlah bersama mereka, makanlah bersama mereka dan sembahyanglah bersama mereka; nescaya engkau akan kenal siapa mereka.

Wahai anakku,
Janganlah engkau bangga bersahabat dengan golongan yang fasik, lalu kamu menjauhi golongan bertaqwa. Engkau mengharapkan habuan dunia yang ada pada mereka, lalu mereka menyesatkan kamu dan menjauhkan kamu dari Tuhanmu. Engkau akan mulai terpisah dengan golongan yang menjaga iman mereka, kemudian kamu akan semakin jauh dari rumah Allah dan kamu akan terus bergelumang dengan golongan yang lalai dengan Allah.

Wahai anakku,
Sahabat yang baik itu ialah sahabat yang bilamana kamu melupai kewajipanmu, ia akan mengingatkan kamu. Bilamana kamu mendengar kata-katanya akan bertambah ilmumu, dan bilamana kamu melihat amalan sehariannya, mengingatkan kamu pada hari akhirat.

Wahai anakku,
Aku sedar betapa payahnya kamu untuk mendapatkan sahabat yang baik, namun kebaikan yang ada padamu akan mengundang kebaikan sahabat yang mendekatimu. Tidakkah bau harum pada bebunga yang mekar menarik kedatangan lebah bagi menghisap madunya. Dan tidakkah kamu perhati bau busuk dari seekor bangkai akan mengundang langau. Kamu jangan mengharap kebaikan yang ada pada golongan yang lalai pada perintah Allah, atau kamu kagum dengan satu dua kebaikan yang dilakukan di hadapanmu, lalu kamu sanggup memejam mata terhadap rasuah, salahguna kuasa, kezaliman dan kemungkaran yang dilakukannya. Lalu kamu war-war kebaikannya, dan kamu diam terhadap kemungkarannya.

Wahai anakku,
Janganlah kamu menjadi jurucakap kepada musuh bagi membenarkan keburukan perbuatanmu, kerana ia tidak lebih menambahkan kebencian orang terhadapmu. Sebaliknya perbaikilah kelemahan dirimu bersama jamaah, dengan mendekatkan dirimu kepada Allah melalui amalan jamaahmu. Hiruplah keredhaan Allah dalam setiap patah zikirmu, dan titislah airmata keinsafan di atas keterlanjuranmu kerana mengabaikan perintah Allah.
Wahai anakku,
Aku sedang berbicara denganmu, bukan orang lain kerana aku mengasihimu di dunia dan akhirat. Demi Allah aku sanggup hilang seribu sahabat yang fasik, namun aku tidak sanggup kehilangan seorang sahabat yang soleh.

Senyumlah semoga Allah mengasihimu.
Senyum


~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Jangan Berdusta Walaupun Untuk Bergurau


NOTA NASIHAT

JANGAN BERDUSTA WALAUPUN UNTUK BERGURAU

  Mengenakan orang dengan amaran-amaran palsu ini bukan perkara baru. Ia sudah lama diungkap di dalam sejarah. Kisah budak dengan serigala ini merupakan salah satu daripada kisah Aesop’s... Fables atau Aesopica merujuk kepada legasi Greece Purba antara tahun 620 and 560 BCE.

  Islam melarang Muslim berdusta, walaupun sekadar gurauan. Baginda Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam memberi amaran:

“Celakalah seseorang yang berbicara dengan suatu perbicaraan untuk menjadikan orang ramai ketawa sedangkan beliau berdusta. Celakalah dia, celakahlah dia” [Hadith riwayat al-Tirmidhi)

  Apatah lagi jika gurauan itu sifatnya adalah menakut-nakutkan saudaranya:

Pada suatu ketika, mereka bersama-sama dengan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam di dalam sebuah perjalanan. Lalu salah seorang daripada mereka tertidur. Kemudian sebahagian mereka pergi mengambil tali dan mengikat lelaki yang tertidur itu tadi, dan beliau terkejut ketakutan. Lalu Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam bersabda, “TIDAK HARUS BAGI SEORANG MUSLIM MENAKUT-NAKUTKAN SEORANG MUSLIM YANG LAIN” [Al-Targheeb wa al-Tarheeb, hadith 3/403]

-saifulislam.com

Bila Yang Tulus Mencintai...

ORANG YANG TULUS MENCINTAIMU

Dia selalu ada mendampingi hidupmu.Walau dalam kondisi TERBURUKMU sekalipun.

Dia tak kan pernah MENINGGALKANMU setelah mengetahui KEKURANGAN yang ada pada dirimu.

Karena dia sadar bahwa hidup bersamamu adalah saling melengkapi kekurangan masing-masing.

Baginya bahagiamu adalah kebahagiaannya juga.
...
Baginya sedihmu adalah kesedihannya juga.

Baginya hidup bersamamu adalah sebagai ibadah untuk mencapai Ridha-Nya.

SubhanAllah..
Semoga kita di karuniai pendamping hidup yang demikian.. Aamiin


~Ustaz Yusuf Mansyur
 


Ahad, 10 November 2013

Berzanji Rawi 4 ~ Hajjah Rahmah Hj Abd Rahman

Ibu saya, idola saya. ~pengubat rindu ~


Watch "Bacaan Berzanji - Hajjah Rahmah Abdul Rahman" on YouTube - https://www.youtube.com/watch?v=9lqjKQE0LzA&feature=youtube_gdata_player


Membahagiakan itu Keperluan

Petang semalam, saya baru saja mengenakan telekung. Sedang qiam untuk menunaikan solat asar. "Usolli fardhal asri arba'a rakaatin ada an lilla hitaala. Allahu akbar". Kedua-dua tangan telah pun melekap dan diletakkan di bawah dada.

Tiba-tiba telinga saya menangkap sesuatu. Ada suara yang sedang memanggil-manggil nama saya. Sayup-sayup kedengaran suara tua dia, ibu mertua saya yang telah bertahun-tahun tak boleh berjalan maupun berdiri. Dalam hati terus terdetik, patut ke stop solat? Tapi apa-apa hal, kena dulukan Allah, barulah manusia. Lantas saya terus baca doa iftitah. Panggilan masih bertalu-talu. Ah! Solat apa maknanya kalau tak khusyuk? 

Lantas saya keluar dari bilik dan terus mendapatkan orang tua itu. Rupa-rupanya mata kedua (cermin mata) dia hilang. Entah mana dicampaknya. "Entah-entah kat bawah bontot mak tak?" gurau saya. Terkekeh-kekeh dia ketawa. Jenuhlah saya mencari. Selak sana selak sini. Dia juga. Sambil mulutnya menyebut "mana ni ...mana ni?" tangannya membongkar isi 'balang ajaibnya'. Satu-satu barang dikeluarkan. Kitab yasin, botol minyak urut,minyak gamat...cermin mata. Opps! ada pun rupanya. Dalam bekas ni. Dia ketawa lagi.Terkekeh-kekeh. Saya tau, sebagai warga emas, dia seronok dilayan begitu.

Saya juga seronok. Ketika memberi satu, saya telah mendapat dua; Menggembirakan manusia lain dan dapat bersolat dengan tenang.

-syahdina muza

Rabu, 6 November 2013

Air Mata SPM

Hari ini SPM bermula. Untuk pertama kalinya, saya sebak melihat dia pergi ke sekolah. Situasi itu bagaikan melihat dia keluar untuk berperang. Benarlah kata-kata, menuntut ilmu itu suatu perjuangan. Berjuang sendiri dengan melihat anak berjuang jauh bezanya. Air mata saya akhirnya jatuh juga. Tersedu-sedu sendirian. Semoga Allah rahmati semua anak-anak di dunia ini. SPM hanya secebis permulaan. Bukan penentu kehidupan.

-syahdina muza