Memaparkan catatan dengan label Ana Balqis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ana Balqis. Papar semua catatan

Khamis, 8 Mei 2014

Kawan Bukan Sahabat

KAWAN BUKAN SAHABAT


Kawan saya ramai. Kemudian satu persatu hilang. Oleh fitnah atau mungkin oleh sikap saya yang tidak disenangi. Saya terima. Saya teliti balik kawan-kawan saya. Mereka datang ke rumah. Mereka datang ke pejabat. Mereka selidik siapa kawan-kawan saya. Mereka geledah jenis makanan saya. Buku yang saya baca. Meneliti sikap saya ketika berhadapan dengan masalah atau ditimpa musibah. Pergaulan saya atau pemakaian saya.

Mereka meminta petua hidup bahagia kerana pada mereka saya bahagia. Mereka katakan kepada kawan-kawan, sayalah guru. Sayalah idola dan segala kata baik. Perlahan-lahan saya jadi malu. Resah memikirkan. Takut musibah persahabatan. Bimbang ujian Allah mendatang. Dan, akhirnya ketakutan itu jadi nyata. Fitnah persahabatan muncul satu-satu. Pun, saya telah bersedia. Saya katakan kepada hati, mereka itu cuma jasad ujian yang Allah datangkan kepada saya. Redalah. Allah hapuskan mereka dari senarai kawan-kawan saya justeru mereka telah banyak mencuri waktu saya. Jadi, saya tidak kesal. Malah bersyukur Allah menghindarkan mereka dari dalam lingkungan peribadi saya.

Hari ini Allah hadirkan beberapa insan yang tidak sedikitpun meminta apa-apa. Tidak pernah memuji dan menyebutku begitu begini. Kami ada waktu untuk makan dan berbual dalam sibuk. Ada masa kami berkongsi cerita tentang cili api atau belimbing buluh atau kucing hitam di gerai makan. Bahagia. Sungguhlah benar firman-Nya, kunfayakun. Fahamlah saya, Allah datangkan ujian 'kawan-kawan' untuk memberi saya 'beberapa sahabat'. Alhamdulillah.



~Ana Balqis

Tentang Aurat

TENTANG AURAT

Pabila habis umur seseorang anak adam, mereka dikafan sebelum disemadikan di lahad. Kain kafan perempuan lima lapis manakala lelaki tiga. Kalian tahu kenapa perempuan kafannya dilebihkan daripada lelaki? Aurat, kerana aurat perempuan itu lebih.

Aurat itu bukan cuma kulit badan atau rambut. Bertudung tetapi masih berpakaian ketat, masih bersanggul tinggi dan jikalau bercakap bermanja-manja. Itu masih belum dikira menjaga aurat. Sebaliknya kehidupan itu sendiri seluruhnya aurat kecuali di dalam rumah. Suara, penampilan diri malah jelingan mata. Kenapa banyak sangat aurat perempuan?

Seperti al-Quran yang tersimpan segala rahsia Allah, begitulah Dia mahu perempuan menjaga rahsia. Ingatlah anakku, auratmu itu maruah Islam.



~Ana Balqis

Islam Apa Kita Ini?

PESAN SABARIAH

SABARIAH duduk di depanku, menghulurkan seikat rebung dan petai. Aku terlopong. Aku baharu teringat tentang rebung. Teringin sangat nak makan masak lemak cili api rebung. Campur udang hidup. Aku perlahankan nada yang menghias komputer kerja.


"Dah umur-umur macam kita ni, aku rasa baiknya kita dengar zikir-zikir je. Hati hidup, jiwapun segar. Lagu-lagu ni, aku rasa dah tak sesuai."

Bukan lagu tu. Itu gesekan biola gemulah Idris Sardi dalam siri selawatnya. Aku suka sebab gesekan itu buat jiwa aku tenang.

"Idris Sardi tu, siapa?"

Tokoh muzik Indonesia. Aku kira lebih hebat daripada Vivaldi.

"Hmm ... kita ni banyak lupa. Muzik melalaikan pun kita kata ok, hiburan jadi subjek utama. Baca gosip artis tiap hari tapi nak buka Quran sekali seharipun susah, kalau page artis tak ada yang kita tak tau. Komen sikit punya berjela kat wall pelakon pujaan. Asal ada pelakon dalam sesatu majlis, kitalah nombor satu posing. Kalau ada orang agama dalam majlis, kita tak endahpun. Tak pernah kisahpun. Eh, tak malu ke? Esok kalau Allah tanya ke mana kita habiskan masa di dunia ni, macam mana kita nak jawab?"

Aku diam. Tak terjawab.

"Kalau ada orang tulis tazkirah di wall, kita kata nak tunjuk alim. Kalau tulis yang baik-baik, kita kata diapun dua kali lima. Kalau adalah tengok ceramah agama di komputer pun, pilih-pilih ustaz. Islam apa kita ni?"

Aku mengeluh. Terasa nafas memendek. Astaghfirullah.



~Ana Balqis

Makna Sahabat

Makna sahabat itu bilamana kita selalu memikirkan kebahagiaannya. Mengingat dan mendoakan. Mencukupkan yang kurang, membaiki yang punah atau menghibur resahnya. Menjadi sahabat itu bermakna kita menjadikan diri kita sebahagian daripada mereka. Tanggung sama susahnya dan biarkan dia terbang lepas tatkala senang. Tidak merajuk atau meminta balas. Sedia mengerti, kita sahabatnya bukan peminta-minta.


~ Ana Balqis