Memaparkan catatan dengan label USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI. Papar semua catatan

Rabu, 20 Ogos 2014

kenapa buah masih tidak ada...


Masing-masing mendakwa akidahnya paling benar. Kata A di sini tidak ada mujassyimah. Kata B pula di sini tidak ada bid'ah. Kata C... (masing-masing dengan hujah naqli dan aqli yang tersendiri.)

Bila ditanya mana adab dan akhlak? Masing-masing menjawab, "tidak ada gunanya ibadah dan akhlak jika akidah sudah rosak."

Akidah itu akar, ibadah itu pohon, adab dan akhlak itu buahnya. Benar, tanpa akar, pohon dan buah tidak akan ada. Tapi kenapa buah masih tidak ada kalau betul akar dan pohonnya sudah benar?"

Aku yang masih belajar dan mujahadah ini masih mencari jawapannya.

~USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI,
~

Khamis, 5 Jun 2014

Hati Kita...

Hati manusia itu berbolak-balik sifatnya. Untuk ditenangkan,  hati itu perlu diberi peringatan. Justeru, jangan dibimbangkan sangat berapa kali hati itu alpa dan terlupa, itu memang sifatnya. Namun, apa yang lebih penting setiap kali alpa, janganlah terus alpa, tetapi ingatlah semula.

Kita buat baik bukan kerana kita sudah menjadi orang yang baik tetapi itulah usaha kita untuk menjadi orang yang baik.

~Pahrol
Buku; PESAN HATI UNTUK HATI

Ahad, 1 Jun 2014

Mengingatkan Diriku


Seorang bertanya, "mengapa kamu suka mengingatkan orang lain?

Aku menjawab,"kerana itu caranya aku mengingatkan diriku sendiri..."

Jika masih ada 'aku' dan 'kamu' dalam memberi peringatan...itu satu tanda kita belum berdakwah dari hati ke hati.

~ Pahrol Muhamad Juoi

Jumaat, 9 Mei 2014

Hiburan umpama Garam

Hiburan dalam Islam hanya diperlukan dalam kuantiti yang sedikit...seperti kuantiti garam dalam masakan. Perlu memang perlu tetapi hanya sedikit. Mengapa? Kerana jika semua tuntutan ajaran Islam dilaksanakan. umat Islam akan terhibur secara automatik. Islam itu sendiri bermakna sejahtera. Maka mengamalkan keseluruhan ajaran Islam akan memberikan segala unsur yang membawa kepada kesejahteraan, ketenangan dan keseimbangan.

"Tanpa garam, masakan akan hilang keenakannya. Namun kalau garam berlebihan, akan rosaklah keenakan rasa makanan".

Sementara hiburan yang MELALAIKAN, yang sangat diminati dalam dunia masa kini, banyak yang melalaikan. Biarpun beralih daripada satu lagu ke satu lagu, dari satu filem ke satu filem, dari satu program/aktiviti ke satu program/aktiviti, ketenangan hakiki tidak juga ditemui. Hiburan seperti ini umpama pil pain killer (ubat penahan sakit). Fungsinya bukan untuk mengubati penyakit tetapi hanya menahan rasa sakit untuk sementara waktu. Bila kesan ubat itu hilang, rasa sakit itu kembali lagi.

"Manusia hari ini menikmati hiburan yang melalaikan seumpama meminum air laut. Oleh sebab tekak sangat dahaga, air laut terus diminum. Namun sia-sia. Semakin diminum semakin haus jadinya."

~Buku; SEMUANYA SOAL HATI
          Pahrol muhamad Juoi

Khamis, 8 Mei 2014

Mendoakan Musuh

"Aku telah mendoakan musuh ku tetapi dia terus memusuhi ku, mengapa? "

Hati ku menjawab, "teruskan berdoa, Allah sedang menguji keikhlasan mu!"

~Pahrol Muhamad Juoi

Ahad, 4 Mei 2014

Orang Takbur Gila Pujian

Orang takbur gila pujian. Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri. Mereka telah merasakan begitu super sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri dan batas syariat.

Orang yang takbur akan mendakwa bencana yang menimpa pesaingnya adalah hasil kelebihan dirinya. Sikap buruk itu sering hinggap pada orang yang rajin beribadah dan takbur kerana ibadahnya.

Buku: SEMUANYA SOAL HATI
            (Pahrol Mohamad Juoi)

Hasad - Tidak Bersyukur

Orang yng hasad gagal melihat hikmah di sebalik nikmat yang sedikit  dan banyak. Oleh sebab itu, dia gagal bersyukur  dengan apa yang ada dan gagal bersabar dengan apa yang tiada. Neraca prtimbangannya hanya pada kuantiti material dan fizikal.

Syukur dan sabar itulah harta yang menyebabkan jiwa menjadi kaya.

Buku: SEMUANYA SOAL HATI
             (Pahrol Mohamad Juoi)

Bisikan Syaitan - licik

"Engkau beribadahlah bersungguh2, jangan sampai diketahui orang.Nanti Allah yang akan memberitahu orang lain bahawa engkau seorang hamba yang ikhlas."
Jika itulah bisikan hati kita, nyatalah itu bisikan syaitan. Namun, bisikan itu terlalu seni dan licik sifatnya. Kalau bukan calang-calang orang, pasti tumbang dihenyak tipu dya syaitan.

Sepatutnya bisikan syaitan itu dibalas dengan bisikan yang lebih suci dengan berkata:
"Aku hanya hamba Allah. Allah jualah yang melahirkan atau menyembunyikan amalanku. Dan jika dikehendakiNYA, Allah akan memuliakan atau menghinaku. Semua ini urusan Allah. Aku tidak khuatir samada ibadah ini disembunyikan atau diperlihatkan kepada orang lain kerana itu semua bukan urusanku."

Buku: SEMUANYA SOAL HATI
            (Pahrol Mohamad Juoi)

Selasa, 17 Disember 2013

Ilmu Pengasih dari Suami

“Macam mana saya boleh mengawal diri supaya dapat mengawal isteri?”
Untuk mengawal diri, kita perlukan ilmu. Kemudian ilmu itu terus diamalkan. Untuk mengamalkan ilmu, perlu mujahadah. Mujahadah itu ertinya struggle yang kuat untuk melakukan sesuatu. Bila mujahadah kena bersusah payah. Lawan nafsu. Lawan kemalasan. Lawan kejemuan dalam mematuhi perintah Tuhan.
“Akhirnya isteri kita akan tunduk kepada kita?”
Insyaallah... siapa yang patuh kepada Tuhan, manusia lain akan mudah patuh kepadanya. Termasuk isteri dan anaknya. Itu ilmu pengasih yang ori. Kalau kurang pangkat, cuba tambah pada yang lain.
“Tambah apa?”
Tambah wibawa.
“Dengan apa?”
Dengan ilmu. Tak kiralah sama ada ilmu agama, ilmu akademik atau ilmu kemahiran. Tambahkan amal. Sama ada yang berhubung dengan Allah atau sesama manusia. Tingkatkan akhlak. Maksudnya kita jadi orang yang lebih soleh, lebih tenang, lebih sabar. Insyaallah... isteri kita akan respect kita walaupun pangkat kita rendah.
“Macam mana tiba-tiba dia nak respect kita pulak?”
Sebab kita dah respect diri kita sendiri. Perkara-perkara yang disebut tadi akan meningkatkan harga diri kita. Maksudnya, hormat diri kita terhadap kita sendiri akan meningkat. Dan bila kita mula menghargai diri kita, barulah orang lain akan menghargai diri kita.
“Ohhh... barulah king akan dapat kuasanya semula. Dan queen akan menyerahkan kuasanya!”
Bila kedudukan suami mantap, barulah rumah tangga tersusun semula. Peningkatan diri tadi mempunyai multi-fungsi – maksudnya, di samping mengangkat wibawa suami, sekaligus itu juga membolehkan suami memimpin keluarganya dengan baik.
“Isteri yang dah kena ubat pengasih tu pulak macam mana?”
Ubat pengasih yang ori ni tidak akan membodohkannya seperti ubat pengasih yang tak ori. Bila suami menjadi pemimpin yang baik, insyaallah... isterinya akan menjadi pengurus yang baik. Gandingan mantap pemimpin dan pengurus inilah yang akan membahagiakan rumah tangga.

~Buku; Satu Rasa Dua Hati – Pahrol Mohd Juoi

Rabu, 27 November 2013

Bertahanlah Kerana Cintakan Allah

Belajarlah membebaskan, bukan mengikat. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, tiada lagi cinta berapi yang berasaskan keinginan biologi dan fisiologi. Ketika warna sebenar (true colour) pasangan kita semakin terserlah hari demi hari, adakah kita mampu bertahan dan bersabar atas kelemahan dan kekurangan pasangan kita yang sudah bertahun-tahun kita hadapi?

Ingatlah, jika pasangan kita ada kerenahnya, apa kurangnya kita? Jangan kesabaran kita sahaja yang dikirakan. Kesabaran pasangan kita terhadap kerenah kita juga wajar dipertimbangkan. Suami merupakan cermin kepada si isteri. Dan begitulah sebaliknya. Hubungan kesalingan ini menunjukkan bagaimana perangai dan akhlak pasangan yang ditakdirkan untuk bersama kita.

Jadi , Jangan cepat menyalah atau mengalah. Sebaliknya banyakkan muhasabah diri. Sedarlah bahawa kelemahan atau keburukan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya bukan sahaja tidak dingini oleh kita tetapi juga oleh diri mereka sendiri. Mereka pun pada hakikatnye sedang berhempas pulas untuk mengatasi kelemahan atau keburukan itu.

Kalau begitu, adalah lebih baik sekiranya kita membantu darpada  'membuntukan' mereka.

~ Ustaz Pahrol Muhamad Juoi
Buku; CINTA KERANA ALLAH

Khamis, 24 Oktober 2013

Sukar Maafkan Diri Sendiri?

Siapa yang sukar memaafkan orang lain, sukar memaafkan dirinya sendiri... sedangkan manusia sangat dahagakan kemaafan...

Justeru Allah itu Maha Pemaaf, dan sentiasa bersedia memberi kemaafan buat insan yang sangat dahagakannya!

Maafkanlah diri sendiri dengan memohon maaf kepada Allah dan memberi kemaafan kepada manusia!

Khamis, 26 September 2013

Mencari Penghargaan dari Siapa?

Orang yang tidak menghargai diri sendiri... sentiasa dahagakan penghargaan orang lain!

Mencari penghargaan manusia hanya akan menjadikan kita ego, marah, merajuk, kecewa dan jauh hati.

Orang yang mempunyai hargai diri sentiasa menghargai orang lain...justeru siapa yang menghina orang lain petanda dialah yang hina.

Harga diri yang tinggi milik orang beriman... kerana dia sentiasa ingat pesan Allah, jangan rasa hina dan jangan takut jika engkau beriman.

Kita tinggi...selagi kita benar-benar menjadi hamba Allah dan Khalifah di muka bumi.
 
~Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Khamis, 19 September 2013

Itulah Cinta!

Tidak akan ada bahagia di atas derita orang lain...

Paling rendah kita inginkan kebaikan yang kita miliki... juga dimiliki orang lain.

Paling tinggi kita inginkan kebaikan orang lain... walaupun terpaksa mengorbankan apa yang kita miliki.

Cinta itu bererti mengorbankan apa yang kita cintai.

Berkorban itu mesti menderita tetapi tetap bahagia... kerana itulah cinta!
 
~Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Isnin, 19 Ogos 2013

Hidupkan Jiwa... Bacalah Al-Quran,

Sudah semestinya hati terganggu oleh kerenah-kerenah manusia atau gelombang kehidupan. Namun lazimilah mencapai al-Quran dan membacanya. Bacalah ayat-ayat Allah itu kerana ia pasti akan menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Itulah penawar jiwa, ubat kepada hati.
“Kami turunkan kepadamu al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman...” (al-Isra’ 17:82)
Jiwa yang tidak membaca al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa al-Quran segalanya tidak bermakna.
Orang yang berjaya tetapi meminggirkan al-Quran dalam hidup umpama mendaki puncak hanya untuk meninggikan lagi tempat jatuh. Ibarat memburu fatamorgana dunia, hanya untuk ditipu olehnya.

Buat mereka ini dijanjikan kesibukan yang tiada henti, kelesuan yang tidak berpenghujung, kejemuan yang sentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan.
~Ustaz Pahrol Mohamad Juoi~
 

 

Hati Yang Sakit

Imam al-ghazali memberi panduan; “Carilah hatimu pada tiga tempat; Cari hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”
Kalau badan kita sakit, kita tidak berselera untuk makan, sekalipun dihidangkan makanan yang enak. Mana mungkin kita makan dengan hidung yang tersumbat, lidah yang pahit yakni ketika deria pandang, bau dan rasa kita telah tercabut.
Begitu juga hati yang sakit menolak segala makanan rohani yang enak dan lazat seperti solat, zikrullah, membaca al-Quran, doa dan lain-lain. Apabila solat tidak lazat, bukan ertinya solat itu tidak lazat tetapi kerana hati kita sakit. Apabila membaca al-Quran tidak manis, bukan bererti al-Quran itu pahit tetapi hati kita yang sakit.
~Ustaz Pahrol mohamad Juoi~

Selasa, 6 Ogos 2013

Cinta Dunia Itu Kepala Segala Kejahatan

Cinta dunia itu kepala segala kejahatan, demikianlah kata hukama. Akibat cinta dunia yang keterlaluan, orang sering takut kehilangannya dan bermati-matian memburunya. Dunia yang sepatutnya hanya diletakkan di tangan, telah diletakkan di hati. Sedangkan hati manusia yang satu itu tidak akan mampu menampung dua cinta. Jika cinta dunia telah menguasainya, cinta Allah akan terpinggir.

Anehnya pemburu dunia ini, yang tidak mendapatnya akan putus asa dan menderita. Manakala yang mendapatnya pula sentiasa berasa tidak puas, turut menderita. Mereka bagaikan meminum air laut, semakin diminum semakin haus. Bukan sahaja jiwa dan hati mereka kelelahan, fizikal dan tenaga mereka juga keletihan. Inilah yang menjadi punca penyakit–penyakit kronik.
Alhasil, kajian di Barat (seperti yang ditulis oleh Dale Carnegie) menunjukkan golongan korporat secara majoriti menghidap salah satu daripada penyakit ini; sakit jantung, barah atau darah tinggi. Kejayaan dalam perniagaan kerap digandingkan dengan penyakit yang dihidapi. Apalah gunanya kejayaan merebut seluruh kekayaan dunia kalau hilang kesihatan. Ingatlah, sekaya mana pun seseorang, sebanyak mana pun harta yang dimilikinya, seseorang hanya dapat makan tiga kali untuk kenyang dalam sehari dan tidur di atas sebuah katil pada satu masa.
Allah SWT telah mengingatkan lagi dengan ayatNYA yang bermaksud;
“Harta benda dan anak-anak mereka (kaum munafik) janganlah mengagumkan engkau kerana Allah hendak menyeksa mereka dengan itu dalam kehidupan dunia dan hilang nyawanya ketika mereka dalam keadaan tidak beriman.” (surah at-taubah 9;55)
“Manusia diberi perasaan mencintai keinginan, misalnya kepada perempaun, anak-anak, kekayaan yang banyak daripada emas dan perak, kuda yang bagus, binatang ternak dan ladang. Itulah kesenangan hidp di dunia dan di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (surah ali-Imran 3;14)
~Ustaz Pahrol Mohamad Juoi~
Buku; Soal Hati

Yang Mana Kita?

Maulana Jalaluddin Rumi pernah berkata;
“Orang yang begitu senang dan nikmat melihat dan menyebut-nyebut kebaikan yang lain bagaikan hidup di sebuah taman yang indah. Di sini anggerik, di sana melati, di mana-mana sahaja mata memandang, yang nampak hanya bebungaan yang indah, mekar dan harum mewangi. Di mana-mana yang terlihat hanyalah keindahan.
Sebaliknya, orang yang gemar melihat aib dan kejelekan orang lain, fikirannya hanya diselimuti oleh aneka keburukan sementara hatinya hanya dikepung prasangka-prasangka buruk. Oleh sebab itu, ke mana-mana pun matanya melihat, yang nampak ialah ular, kala jengking, duri dan sebagainya. Di mana sahaja dia berada sentiasa tidak akan pernah dapat menikmati indahnya hidup ini.”
~Ustaz Pahrol Mohamad Juoi~
Buku; Soal Hati

Sabtu, 27 Julai 2013

Cinta Melahirkan Kata-kata vs Kata-kata Mengharumkan Cinta

Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan menjadi semakin becok. Tetapi lelaki sebaliknya menjadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai selesai.

Manakala lelaki yang dulunya ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (adakalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah. Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin bisu. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata apabila berdepan dengan suami.
Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam seolah-olah tidak apa-apa yang hendak  diperkatakan lagi. Lalu rumahtangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Semacam sudah tidak ada apa lagi yang hendak dikongsi.
Ada kalanya duduk rapat-rapat tetapi sudah tidak bertemu lagi. Tidak ada apa yang dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, suami sibuk memandu. Di sebelahnya isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi mediator secara tidak rasmi. Terhubung jugalah kata-kata atas apa yang ditimbulkanya. Apabila anak-anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.
Benar! Sewaktu mula-mula bercinta dulu, cintalah yang melahirkan kata-kata. tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat! Kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali. Maksudnya , kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (suami/ isteri kita).
Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan kata-kata yang baik. Luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Carilah topik-topik yang menarik untuk diperbualkan. Jangan malu alah untuk memulakan. Cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali.
~Ustaz Pahrol Mohamad Juoi~
Buku; Cinta Kerana Allah

Jumaat, 19 Julai 2013

Perlu Lakukan vs Suka Lakukan

Dalam hidup ini, manusia akan berhadapan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu dilakukan. Kedua, perkara yang suka dilakukan. Dan sudah menjadi sunatullah, kedua-dua perkara itu saling bertindak bertentangan. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang suka kita lakukan adalah perkara tidak perlu kita lakukan.

Contohnya, solat subuh. Bila hampir masuknya waktu subuh, perkara yang perlu kita lakukan adalah bingkas bangun, membersihkan diri, bersuci dan terus berwudhuk. Itulah perkara yang perlu kita lakukan. Namun apakah perkara yang suka kita lakukan?

Ya, diikutkan rasa, kita suka untuk terus tidur dan bersenang-senang. Subuh itu sejuk, gelap, nyaman... waktu yang paling enak untuk menyambung tidur. Bangun subuh adalah perkara yang perlu, manakala terus tidur adalah perkara yang suka kita buat. Yang mana  satu lebih baik? Tentulah sembahyang itu lebih baik daripada tidur. Tapi apa yang nafsu inginkan? Jawabnya, tidur!.
Jadi, lawanlah nafsu. Tidak ada jalan pintas. Tiada ada jalan singkat. Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk ‘menanam’. Di sana (akhirat) barulah ‘menuai’.  Orang mukmin sentiasa rela bersusah payah untuk melakukan ketaatan, kebajikan dan kebaikan. Hidupnya terlalu sibuk dengan ibadat. Berpindah daripada ibadat khusus kepada ibadat umum dan berpindah kepada ibadat sunat.
Teringat pesanan Sayyidina Ali, "Beribadatlah sehingga kita letih untuk melakukan kejahatan”

 ~ Ustaz Pahrol Mohamad Juoi~
Buku; Di Mana Dia Di Hatiku

Khamis, 18 Julai 2013

Kejahatan Itu Racun Yang Manis

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah.  Benarlah seperti yang sering diungkapkan, apabila manusia berdosa, dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang diri sendiri.

Namun, rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.
Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran akan mencengkam hati dan diri. Tiada lagi rasa bersalah.
Wahai diri... ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah ‘peringatan’ yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insan. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itu kan syarat taubat? Jika terlanjur lagi berdosa, bertaubatlah kembali. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.
Wahai diri... biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat  yang tidak ‘menjadi’ berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh ‘nikmatnya’ yang menyebabkan seksa selamanya di akhirat.
 ~ Ustaz Pahrol Mohamad Juoi ~
Buku; Di Mana DIA Di Hatiku