Cinta
dunia itu kepala segala kejahatan, demikianlah kata hukama. Akibat cinta dunia
yang keterlaluan, orang sering takut kehilangannya dan bermati-matian
memburunya. Dunia yang sepatutnya hanya diletakkan di tangan, telah diletakkan
di hati. Sedangkan hati manusia yang satu itu tidak akan mampu menampung dua
cinta. Jika cinta dunia telah menguasainya, cinta Allah akan terpinggir.
Anehnya
pemburu dunia ini, yang tidak mendapatnya akan putus asa dan menderita. Manakala
yang mendapatnya pula sentiasa berasa tidak puas, turut menderita. Mereka bagaikan
meminum air laut, semakin diminum semakin haus. Bukan sahaja jiwa dan hati
mereka kelelahan, fizikal dan tenaga mereka juga keletihan. Inilah yang menjadi
punca penyakit–penyakit kronik.
Alhasil,
kajian di Barat (seperti yang ditulis oleh Dale Carnegie) menunjukkan golongan
korporat secara majoriti menghidap salah satu daripada penyakit ini; sakit
jantung, barah atau darah tinggi. Kejayaan dalam perniagaan kerap digandingkan
dengan penyakit yang dihidapi. Apalah gunanya kejayaan merebut seluruh kekayaan
dunia kalau hilang kesihatan. Ingatlah, sekaya mana pun seseorang, sebanyak
mana pun harta yang dimilikinya, seseorang hanya dapat makan tiga kali untuk
kenyang dalam sehari dan tidur di atas sebuah katil pada satu masa.
Allah
SWT telah mengingatkan lagi dengan ayatNYA yang bermaksud;
“Harta
benda dan anak-anak mereka (kaum munafik) janganlah mengagumkan engkau kerana Allah
hendak menyeksa mereka dengan itu dalam kehidupan dunia dan hilang nyawanya
ketika mereka dalam keadaan tidak beriman.” (surah at-taubah 9;55)
“Manusia
diberi perasaan mencintai keinginan, misalnya kepada perempaun, anak-anak, kekayaan
yang banyak daripada emas dan perak, kuda yang bagus, binatang ternak dan ladang.
Itulah kesenangan hidp di dunia dan di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya.”
(surah ali-Imran 3;14)
~Ustaz Pahrol
Mohamad Juoi~
Buku; Soal Hati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan