Sabtu, 3 Ogos 2013

Hakikat Cinta- Berbeza Demi Cinta

Perbezaan jangan dibiarkan sehingga mewujudkan suasana sunyi dalam rumah tangga. Masing-masing takut mengeluarkan suara atau bertindak kerana bimbang akan berlaku perbalahan.
“Sedikit cakap  sudah disalahkan,” bisik hati suami.
“Kalau buat macam ini, pasti ditempelak” kata isteri dalam hati.
Akhirnya kedua-duanya tidak bersuara. Berapa banyak pasangan yang menjalani kehidupan berumah tangga yang muram dan suram.
Perkahwinan yang berjaya bukanlah perkahwinan yang sunyi daripada perbalahan, tetapi setiap perbalahan yang berlaku menjadi peluang untuk membina kejujuran dan persefahaman yang lebih baik. Perbalahan ialah satu proses untuk membina kematangan dalam menguruskan perbezaan.
“Mungkin pandangan suamiku benar”
“Mungkin pandangan isteriku benar”
Itulah suara hati yang perlu ada apabila berlaku satu perbalahan. Setiap diri mesti merasakan bahawa dirinya tidak akan sentiasa betul, benar dan baik selama-lamanya. Pasti ada ketikanya dia atau kita bersalah. Tersilap atau terlepas pandang. Jika perkara ini sentiasa ada dalam minda dan jiwa kita, insyaAllah segala perbezaan akan dapat diuruskan dengan baik.
Untuk sama-sama mencintai, tidak cukup dengan hidup bersama kerana “marriage is loving together, not just living together”. Untuk mencintai, terimalah dan raikanlah perbezaan. Itulah hakikat cinta- berbeza demi cinta. Kita tersilap jika hanya menjunjung dan mengagungkan persamaan kerana persamaan hanya untuk hidup bersama, bukan untuk saling mencintai sesama.
Untuk cinta... dia dan kita mesti berbeza!
~Solusi 33~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan