Ahad, 18 Ogos 2013

Hilang Sifat Pemaaf?

Wahai anakku,
Ke mana hilangnya sifat pemaafmu yang diajar Tuhanmu melalui kitabnya. Hilangnya sifatmu itu, maka hilang sinar Islam di dirimu malah ia mencemari nama baik Allah dan al-Qurannya yang memupuk sifat pemaaf pada umatnya.

Wahai anakku,
Islam, agama Allah, adalah penyelesaian dan panduan suci Tuhanmu bagi mereka yang diberi akal bergelar manusia. Penyelesaian manusia bermula daripada si...
fat pemaaf. Ingatlah, wahai anakku, Islam mudah berkembang kerana kebenaran, sifat pemaaf dan keadilannya.

Aku sedih melihat ketiga-tiga sifat ini semakin menjauhi dirimu. Aku amat bimbang tatkala kamu mengatakan orang lain yang sesat sebenarnya kamu sendiri yang tersesat kerana kamu hilang sinar Islammu yang penuh kebenaran, kemaafan dan keadilan.

Lihatlah cermin, wahai anakku. Kerana kamu marah terhadap sesuatu, kamu jangan pula anggap Tuhanmu turut marah bersama. Tuhanmu Maha Pemaaf, wahai anakku, dan ia tidak memerlukan kamu untuk menjaganya, sebaliknya kamu memerlukan Tuhanmu lebih dari segalanya.

Wahai anak kesayanganku,
Renungkanlah secara mendalam. Kamu kata kamu beriman. Kamu kata kamu seorang beragama Islam. Tapi kamu tidak menyebelahi kebenaran kerana kamu tidak mesra ilmu. Kamu hilang sifat pemaafmu pada kejahilan. Kamu tidak lagi menjunjung keadilan. Apakah kamu bukan sedang menghina Allah dan ajarannya? Apakah kamu layak untuk berasa marah pada mereka yang jahil dan kafir?

Ingatlah, seteruk-teruk seorang yang tidak beriman hanyalah tahap kafir, seteruk-teruk bagi seorang yang beriman ialah munafik.

Wahai anakku,
Di sini aku memetik beberapa ayat dari al-Quran untuk renunganmu, wahai anak kesayanganku. Bacalahnya berulangkali sehingga ia tersemat di hatimu.

(QS. Al-A'raf 7:199)
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

(QS. An Nuur, 24:22)
Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

(QS. At Taghaabun, 64:14)
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(QS. Ali ‘Imraan, 3:133-134)
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Wahai anakku,
Ingatlah, jika engkau tidak mengikuti ajaran mulia Al Qur'an, kamu akan merasa sulit memaafkan orang lain. Sebab, kamu akan mudah marah terhadap kesalahan apa pun yang diperbuat. Padahal, Allah telah menganjurkan orang beriman bahwa memaafkan adalah lebih baik.

Berlandaskan hal tersebut, kaum beriman adalah orang-orang yang bersifat memaafkan, pengasih dan berlapang dada, sebagaimana dinyatakan dalam Al Qur'an.

Apakah kamu seorang yang beriman? Hanya kamu sahaja yang tahu dan Allah sahaja yang boleh menilai.

Senyum
 
~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan