Kejahatan
itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk
perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu
rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya
sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan,
apabila manusia berdosa, dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang
diri sendiri.
Namun, rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.
Tibalah
hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Rasa ketagih
dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran akan mencengkam hati dan diri. Tiada
lagi rasa bersalah.
Wahai
diri... ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau
berdosa, ketahuilah itu adalah ‘peringatan’ yang Allah bekalkan secara tabii
untuk menjaga fitrah insan. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itu
kan syarat taubat? Jika terlanjur lagi berdosa, bertaubatlah kembali. Jangan putus
asa oleh taubat yang patah, kerana kasih sayang Allah akan menumbuhkan taubat
kali kedua, ketiga dan seterusnya.
Wahai
diri... biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi
taubat yang tidak ‘menjadi’ berbanding
larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik hatimu selalu
terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh ‘nikmatnya’
yang menyebabkan seksa selamanya di akhirat.
Buku; Di Mana DIA Di
Hatiku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan