Bersendirian
atau mengasingkan diri (uzlah) adalah ubat terbaik yang nyata terbukti untuk
merawat penyakit hati. Bersendirian bukan bermakna mengunci diri dalam peti
besi di rumah, tetapi hidup jauh daripada kemungkaran, kekotoran dan perbuatan
sia-sia. Gunakan masa yang terluang itu bagi memperbaiki ibadat kepada Allah SWT
agar menjadi ahli ibadat yang merdeka beribadat atas dasar cinta.
Penghayatan
untuk menjauhi perkara yang bercanggah dengan tujuan kita diciptakan
membolehkan kita menghindari majlis yang tidak jelas tujuannya, majlis yang
membuang masa dan sia-sia atau majlis yang bercampur dengan maksiat di mana ia
mampu mematikan hati serta merosakkan keimanan sendiri.
Pergaulan
yang kotor sebegitu akan memberi ruang untuk syaitan berbisik-bisik kepada kita
tentang berita bohong yang mampu mematikan semangat untuk mencintaiNya. Syaitan
juga akan membisikkan cinta nafsu yang kadang-kadang melalaikan. Kita sudah
diperingatkan oleh Allah SWT;
‘Jika mereka berangkat bersama-sama kamu,
nescaya mereka tidak menambah kamu selain daripada kerosakan belaka’.
(at-taubah; 47)
Jika
ini mampu dilakukan, pasti kita boleh menjaga lidah dengan menuturkan kata-kata
yang baik sahaja, menjaga mata kecuali memandang apa yang digalakkanNya, menjaga
telinga dengan mendengar hal yang membantu kita dekat kepada Pemberinya. Dengan
menjaga apa yang masuk ke mata, itu bermakna kita membersihkan minda daripada
pemikiran negatif. Ini kerana, mata adalah panah yang digunakan iblis bagi mengotorkan
minda dan hati hambaNYA.
Cubalah
bersendirian dengan cara bermanfaat untuk
diri dan Tuhan. Telah dipesan oleh bijak pandai, jika berteman tetapi
dia membuatkan kita jauh daripada Allah SWT, maka lebih baik sendirian tetapi
dekat denganNYA. Inilah sebaik-baik nikmat yang tidak harus dipersiakan kerana
hidup ini sangat singkat. Jangan satu saat pun yang terbuang sia-sia...
~Dr. Robiah K.
Hamzah~
Buku: Pujuklah
Rasa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan