Melalui
pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan menjadi semakin becok.
Tetapi lelaki sebaliknya menjadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu
bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus
bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai selesai.
Manakala lelaki yang dulunya ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (adakalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah. Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin bisu. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata apabila berdepan dengan suami.
Bukan
hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk
bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam seolah-olah tidak
apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu
rumahtangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Semacam sudah
tidak ada apa lagi yang hendak dikongsi.
Ada
kalanya duduk rapat-rapat tetapi sudah tidak bertemu lagi. Tidak ada apa yang
dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, suami sibuk memandu. Di sebelahnya
isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang
menjadi mediator secara tidak rasmi. Terhubung jugalah kata-kata atas apa yang
ditimbulkanya. Apabila anak-anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.
Benar!
Sewaktu mula-mula bercinta dulu, cintalah yang melahirkan kata-kata. tetapi apabila
cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu
diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat! Kita bercinta bukan hanya sekali
tetapi kita perlu bercinta berkali-kali. Maksudnya , kita perlu bercinta
berkali-kali dengan orang yang sama (suami/ isteri kita).
Cinta
itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan kata-kata yang baik. Luahkanlah
kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan
memadamkan dendam. Carilah topik-topik yang menarik untuk diperbualkan. Jangan malu
alah untuk memulakan. Cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat
berkali-kali.
~Ustaz Pahrol
Mohamad Juoi~
Buku; Cinta Kerana
Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan