Sabtu, 27 Julai 2013

Bukan Milik Kita

Alkisah sebiji batu bernilai…

Seorang ustaz, bernama Hadi telah menggembara di hutan dan terjumpa sebiji batu bersinar di dalam sebuah tasik.

Hari keduanya, Ustaz Hadi terserempak dengan seorang penggembara bernama Azam yang kelaparan.

Tanpa memikir panjang, Ustaz Hadi membuka begnya dan berkongsi makanan bersama Azam.

Azam melihat dalam beg Ustaz Hadi ada batu bersinar.

...
“Boleh ustaz bagi ana batu itu?” tanya Azam yang terpegun dengan kecantikan batu tersebut.

“Ambillah,” kata Ustaz Hadi tanpa berkata apa-apa.

Azam berasa sungguh bertuah. Beliau merasakan batu bersinar tersebut dapat menjamin kesejahteraan hidupnya sepanjang hayat kalau dapat dijual.

Fikir… Menung… Mimpi…

Fikir… Menung… Mimpi…

Fikir… Menung… Mimpi…

Azam balik berjumpa Ustaz Hadi selepas seminggu.

“Ana sedang fikir,” kata Azam. “Ana tahu batu ini berharga, tapi ana nak pulangkan pada ustaz, dengan harapan ustaz akan memberi ana benda yang lebih berharga daripada batu ini.”

Ustaz Hadi tersenyum. Tapi orang-orang yang mendengar di tepinya merasakan Azam tersangat tamak.

“Ana nak Ustaz bagi apa yang ada di jiwa ustaz yang membolehkan ustaz memberikan batu ini kepada ana,” kata Azam.

Semua terkejut dengan permintaan Azam.

“Manusia suka mengumpul duit dan harta. Semakin banyak dikumpul, semakin banyak yang dikehendaki – tiada penghujungnya nafsu manusia. Tapi apabila manusia dapat hidayah bahawa hidup menjadi lebih bebas dan bermakna jika kita menganggap segalanya tidak dimiliki kita, tapi dipinjamkan sementara oleh Allah kepada kita, Azam akan melepaskan batu bersinar itu tanpa ragu-ragu,” jawab Ustaz Hadi.

Wahai anakku,
Aku bimbang engkau terlalu sayang akan hartamu sehingga ia merosakkan imanmu lalu aku ceritakan kisah di atas untukmu. Tatkala matamu ditutup, jantungmu henti berdenyut dan kamu hembuskan nafas terakhirmu, hartamu dan duitmu tidak lagi boleh mengikutimu.

Aku berharap kisah di atas dapat membantu kamu lebih mudah memahami nasihat yang ingin disampaikan oleh aku. Ingatlah wahai anakku, pembelajaran yang paling berkesan, bukan pada mendengar penerangan 100%, tapi melalui pemahaman dan penyedaran sendiri terhadap segala perkara yang berada di mindamu.

Bacalah wahai anakku. Jangan kamu sesekali henti membaca di dalam hidupmu. Semakin kamu membaca, engkau akan sedar semakin banyak benda kamu tak faham. Disebabkan ada benda baru yang kamu tak faham, kamu akan terus membaca mencari jawapan dan mendalami ilmu kamu. Itulah hebatnya dan nikmat di sebalik seseorang yang suka membaca. Selepas membaca, kongsilah ilmu pada orang lain kerana berkongsi ilmu adalah kunci kepada memdalamkan satu-satu ilmu yang diperolehi.

Senyum.
 
~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan