JENDELA ROHANI MTMZA
Majlis Ilmu
Suatu hari Nabi Muhammad s.a.w. bertemu dua kumpulan muslimin . Satu kumpulan sedang beribadah sambil bermohon dan berdoa kepada Allah s.w.t. , manakala satu kumpulan lagi sedang mengadakan majlis ilmu . Kedua-duanya baik , tetapi Nabi memilih yang terlebih baik .
Nabi s.a.w. memilih majlis ilmu yang sedang berlangsung . Baginda duduk bersama-sama kumpulan kaum Muslimin yang hadir dalam majlis tersebut . Walaupun Baginda seorang Nabi dan orang yang alim serta paling berilmu di kalangan sekalian manusia , Nabi tetap cinta kepada ilmu pengetahuan .
Malah pada bulan Ramadan , Nabi s.a.w. akan bertadarus al-Quran dengan Malaikat Jibril a.s. Nabi membaca dan Malaikat Jibril a.s. mendengar sambil menyemak bacaan Nabi . Ia juga termasuk dalam proses belajar .
Nabi s.a.w. bersabda , " Ilmu itu merupakan khazanah (perbendaharaan) anak kuncinya ialah bertanya . Kerana itu bertanyalah kamu, kerana dengan bertanya itu akan diberikan ganjaran empat golongan . ( Iaitu ) orang yang bertanya , orang yang mengajar , orang yang mendengar dan orang yang mencintainya ." ( Riwayat Abu Na'im daripada Sayidina Ali )
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(Riwayat al-Bazzar).
Pengajaran hadis:
i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.
iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.
Wassalam
~JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)