Rabu, 11 November 2015

penghargaan dan pengharapan

1. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam ukhwah.
2.    Yang dihormati Puan Pengerusi Majlis.
3.    Yang berbahagia Ustaz Syaari bin Abdullah, Tuan Nazir Masjid Baitul Mahabbah dan isteri, Ustazah Siti Aishah bt Lebai Saaban, selaku Penasihat Biro Muslimat.
4.    Yang  berusaha, Puan Noormah Dahlan, Ketua Biro Muslimat.
5.    Yang berbahagia Pegawai Masjid Baitul Mahabbah, imam-imam, bilal-bilal, siak-siak dan ahli-ahli jawatankuasa masjid.
6.    Yang berbahagia ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang sentiasa bersemangat mencurahkan ilmu samada dari  dekat maupun dari jauh.
7.    Tuan-tuan,  puan-puan serta para hadirin dan hadirat  yang dikasihi sekalian.

1.    Alhamdulillah, segala puji dan puja, syukur kita kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNYA, kita dapat berkumpul bersama-sama dalam majlis santai yang diharapkan penuh barkah ini. Mudah-mudahan majlis ini mendapat rahmat dari Allah SWT.

2.    Terlebih dulu, saya ingin mengucapkan  terima kasih kerana telah diberi peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata sebagai salam perkenalan, salam persahabatan dan salam ukhwah yang tidak berbelah bagi di majlis yang mulia ini.

3.   Juga ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat, muslimin dan muslimat kariah masjid baitul mahabbah kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mewakili dan seterusnya menerajui Biro Muslimat masjid yang kita sayangi ini pada penggal yang akan datang..insyaallah. Saya menjadikan kepercayaan ini sebagai satu medan atau satu peluang yang Allah beri agar saya lebih komited dalam berbakti demi masyarakat kerana Allah.  Dengan amanah yang begini besar yang telah dipertanggungjawabkan, saya sedar saya harus lebih berhati2 dalam semua aspek kerana saya tahu bahawa setiap pemimpin akan ditanya ke atasnya tentang apa yang dipimpin di akhirat kelak.

4.    Sebagai orang baru, saya mohon malah  mengharapkan sokongan dan kerjasama yang erat dari masyarakat, khasnya daripada para muslimat sama ada ahli jawatankuasa atau tidak untuk kita sama-sama berganding bahu  mengimarahkan lagi masjid kita, rumah kasih Sayang ini.  Kerjasama yang ditagih bukanlah untuk saya, tetapi untuk masiid, untuk masyarakat dan terutamanya kerana Allah.

5.    Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus mengerah tenaga dan idea selama ini dengan penuh dedikasi serta  kesabaran yang tinggi dalam menjalankan pelbagai aktiviti dan program di masjid yang mulia ini. Kita para muslimat merasa bertuah kerana mempunyai slot pengajian setiap hari. Padat dan berkualiti. Walaupun dibatasi waktu dan kesibukan tugas-tugas seharian sebagai isteri dan ibu, namun para ahli jawatankuasa masih mampu meluangkan masa untuk mengatur program-program serta mengendalikan kelas-kelas pengajian demi mengimarahkan lagi masjid kita ini. Syabas dan tahniah! Semoga jasa dan keikhlasan hati kalian, diberi ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.

6.  Ingin saya tekankan, bahawa komitmen, tenaga dan idea para muslimat sentiasa  diperlukan untuk mengimarahkan masjid yang  kita cintai ini di masa2 akan datang.  Tanpa sokongan kalian, siapalah saya. Tiada individu yang boleh bergerak sendiri. Setiap makhluk di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Saya teringat sebuah buku yang berjudul NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR hasil tulisan penulis tersohor negara ini, Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Terdapat sebuah artikel bertajuk “Hidup Bersama Seperti Lebah”. Antara isi kandungannya adalah lebah sentiasa bekerjasama tanpa ada perebutan atau permusuhan. Masing-masing ada tugas. Masing-masing memberi sumbangan yang sangat berguna untuk kebaikan bersama. Begitu jugalah kita, sebaik-baik makhluk di mukabumi ini. Kita seharusnya membina hubungan dengan keadaan ‘menang-menang’ atau win-win situation dan saling memberi manfaat antara satu sama lain.

7.    Lebah hanya hinggap di tempat yang bersih, segar dan harum. Begitu jugalah kita sebagai manusia. Sentiasa ingin mencari tempat yang baik, bersih dan selamat, antaranya di masjid, majlis-majlis ilmu dan tempat yang menyediakan aktiviti atau program yang membawa kebaikan. Malah kita seharusnya sentiasa bekerjasama agar dapat menghasilkan kebaikan bersama juga. Hasil daripada kerjasama itu, dapatlah kita berkongsi pengalaman, iktibar maupun pengajaran untuk menempuh hari-hari seterusnya. Bukan sekadar untuk kebaikan di dunia, tetapi yang paling utama untuk kebaikan di akhirat.

8.    Allah Maha Kaya. Maka setiap manusia itu berbeza samada dari aspek luaran ataupun dalaman, fizikal atau mental. Lebihnya kita, kurangnya orang. Lebihnya orang, kurangnya kita. Namun kita seharusnya berusaha mencari titik persamaan dalam meraikan  perbezaan. Kita jadikan perbezaan antara kita sebagai pelengkap antara satu sama lain untuk menghasilkan kebaikan. Kebaikan pula tidak pernah habis apabila disebarkan bahkan akan bertambah. Fitrahnya, apa yang kita berikan akan kembali kepada kita…selalunya dalam bentuk yang lebih baik dan lebih banyak. Semoga dengan sokongan ikhlas dan padu, kita dapat menjadikan jalinan masyarakat yang sudah sedia baik ini menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang..aamiin.

Hadirin hadirat yang dikasihi,

9.    Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada tenaga-tenaga pengajar, asatizah yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu kepada kami di sini. Insyaallah… sumbangan  dan bakti kalian masih lagi kami perlukan pada penggal yang berikutnya.  

Dari dunia ke liang lahad
Baiki akhlak baiki hati
Dari Isnin hinggalah Ahad
Ilmu dikutip bersilih ganti.

Semoga ilmu yang dicurahkan sentiasa mengalir tanpa henti.

10.  Saya kira, cukuplah setakat ini ucapan saya pada kali ini. Maaf dipinta andai ada terkasar bahasa atau tersilap kata. Insyaalah, kita akan bertemu lagi di lain waktu dengan semangat yang baru dan pengalaman yang baru. Sama-samalah kita berdoa semoga ukhwah kita sentiasa terjalin, kerjasama kita sentiasa telus dan pemikiran kita sentiasa bernas. Mudah-mudahan Allah kurniakan kita hati yang bersih, jiwa yang tenang serta akal yang panjang dalam apa jua tindakan yang kita ambil.

.      Saya akhiri ucapan saya ini dengan kata2 hikmah;
“Saat kita menanam padi, rumput ikut tumbuh. Saat kita menanam rumput, tidak pernah tumbuh padi. Maka jangan jemu berbuat baik. Meskipun kadangkala tidak sempurna..kerana yang sempurna hanyalah DIA AL-JALIL…ALLAH Yg Maha Sempurna”

Sekian, Wabillahi taufiq wal hidayah. wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….

syahdinamuza 10nov2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan