Rabu, 20 Ogos 2014

SAKITNYA UJIAN


SAKITNYA UJIAN

Soalan:
Salam Ibu...semakin bertahajud, solat taubat, hajat dan dhuha semakin besar ujian..kenapa?

Jawapan:

Ikhlasnya hati bertanya. Terima kasih sayang.

Bila kita bersolat bukan supaya kita tidak ditimba ujian. Kerana ujian itu adalah syarat untuk kita memasuki Jannah.

”Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.” [al-Ankabut: 2-3] 

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). ( Al-Baqarah: 214)

Namun Allah tidak akan menguji kita dengan beban yang diluar kemampuan kita.

”Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya.“ [Al-Baqarah: 286] 

Bersolat membantu kita untuk tenang melalui ujian bukan untuk kita mengelakkan ujian. Dalam masa yang sama kita melihat orang yang beriman dan rajin bersolat seolah-olah tidak pernah mengeluh dengan kesusahan. Malah seolah-olah hidup mereka tiada ujian.

Sebenarnya mereka amat melalui ujian, namun disebabkan iman dan solat mereka, mereka tenang didalam ujian sehinggakan orang lain tidak sedar.

Oleh itu sayang, bertenang hatilah dengan ujian yang diterima. 

Minta kekuatan untuk melaluinya dari Allah. Ujian membawa kita dekat kepadaNya. Oleh itu janganlah bersedih 


Salam Kasih,
Ibu Rose.

~Prof. Dr. Rozieta Shaary's