Khamis, 8 Mei 2014

Islam Apa Kita Ini?

PESAN SABARIAH

SABARIAH duduk di depanku, menghulurkan seikat rebung dan petai. Aku terlopong. Aku baharu teringat tentang rebung. Teringin sangat nak makan masak lemak cili api rebung. Campur udang hidup. Aku perlahankan nada yang menghias komputer kerja.


"Dah umur-umur macam kita ni, aku rasa baiknya kita dengar zikir-zikir je. Hati hidup, jiwapun segar. Lagu-lagu ni, aku rasa dah tak sesuai."

Bukan lagu tu. Itu gesekan biola gemulah Idris Sardi dalam siri selawatnya. Aku suka sebab gesekan itu buat jiwa aku tenang.

"Idris Sardi tu, siapa?"

Tokoh muzik Indonesia. Aku kira lebih hebat daripada Vivaldi.

"Hmm ... kita ni banyak lupa. Muzik melalaikan pun kita kata ok, hiburan jadi subjek utama. Baca gosip artis tiap hari tapi nak buka Quran sekali seharipun susah, kalau page artis tak ada yang kita tak tau. Komen sikit punya berjela kat wall pelakon pujaan. Asal ada pelakon dalam sesatu majlis, kitalah nombor satu posing. Kalau ada orang agama dalam majlis, kita tak endahpun. Tak pernah kisahpun. Eh, tak malu ke? Esok kalau Allah tanya ke mana kita habiskan masa di dunia ni, macam mana kita nak jawab?"

Aku diam. Tak terjawab.

"Kalau ada orang tulis tazkirah di wall, kita kata nak tunjuk alim. Kalau tulis yang baik-baik, kita kata diapun dua kali lima. Kalau adalah tengok ceramah agama di komputer pun, pilih-pilih ustaz. Islam apa kita ni?"

Aku mengeluh. Terasa nafas memendek. Astaghfirullah.



~Ana Balqis