Jumaat, 25 Julai 2014

Takbir Tahlil dan Tahmid (antara 2 benua)...


Terkesan baca gurindam ini...(dr WhatsApp)

*** *** ***
Selamat Hari Raya wahai Ghazzah!

Di saat Syawal menjelang tiba,

Langsir perlu ditukar,
sedang mereka sudah ketiadaan tingkap.

Baju baru mesti beli, 
sedang baju mereka berlumuran darah.

Kasut baru dua pasang,
sedang mereka hancur kakinya.

Kaum wanita berbaju kurung dan kebarung,
sedang wanita mereka tidur siap bertudung,
agar tertutup aurat ketika jasad ditemui.

Duit raya paling best,
sedang mereka beberapa bulan tidak bergaji.

Takbir raya paling syahdu,
sedang takbir mereka untuk para Syuhada.

Famili ramai berkumpul dalam suasana gembira,
sedang mereka, di mana famili mereka?

Bunga api dan mercun di malam hari,
sedang mereka dihujani bom dan roket
sepanjang hari.

Kita mencium tangan ayah dan ibu,
sedang mereka mengucup dahi ibubapa
yang sudah tidak bernyawa.

Si kecil manja diusik dan dibelai,
sedang si kecil mereka kini sebatang kara

Saling berpelukan bermaafan antara kita,
sedang mereka berpelukan dalam kepiluan

Jiran tetangga dijemput makan,
sedang mereka berjiran dengan runtuhan batu-batan.

Ramai yang menziarahi pusara mereka yang telah pergi,
sedang kubur mereka bertali arus dengan jenazah dari hospital.

Wahai bumi Ghazzah yang dimuliakan!

Wahai butiran-butiran pasir yang diberkati!

Wahai dedaunan Zaitun yang menghiasi Bait Lahiya, Jabaliyah dan Rafah!

Wahai angin yang membawa suara esak tangis dan kepiluan mencengkam kalbu!

Dari renungan tajam penuh makna si anak yatim

dari lelehan darah calon ahli Syurga

dari angin sepoi bahasa yang menyapa khemah-khemah pelarian

dari pengharapan dan penantian yang tidak kunjung tiba …

Di hari raya ini,

suara kemanusiaan telah terbungkam
di sebalik lagu raya, ketupat dan rendang …
simpati dan kasihan bermusim cuma
dihitamkan dengan tayangan Hari Raya Pertama …

alunan takbir, tahlil dan tahmid
berbeza antara dua benua …

Hari Raya kali ini
begitu tidak bermakna sekali rasanya
ketika memikirkan 
Hari raya kita, 
Hari raya mereka!