1. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam
sejahtera dan salam ukhwah.
2.
Yang dihormati Puan Pengerusi Majlis.
3.
Yang berbahagia Ustaz Syaari bin Abdullah, Tuan Nazir
Masjid Baitul Mahabbah dan isteri, Ustazah Siti Aishah bt Lebai Saaban, selaku Penasihat
Biro Muslimat.
4.
Yang berusaha,
Puan Noormah Dahlan, Ketua Biro Muslimat.
5.
Yang berbahagia Pegawai Masjid Baitul Mahabbah,
imam-imam, bilal-bilal, siak-siak dan ahli-ahli jawatankuasa masjid.
6.
Yang berbahagia ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang sentiasa
bersemangat mencurahkan ilmu samada dari
dekat maupun dari jauh.
7.
Tuan-tuan, puan-puan
serta para hadirin dan hadirat yang
dikasihi sekalian.
1.
Alhamdulillah, segala puji dan puja, syukur kita
kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNYA, kita dapat
berkumpul bersama-sama dalam majlis santai yang diharapkan penuh barkah ini.
Mudah-mudahan majlis ini mendapat rahmat dari Allah SWT.
2.
Terlebih dulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana telah diberi peluang untuk
menyampaikan sepatah dua kata sebagai salam perkenalan, salam persahabatan dan
salam ukhwah yang tidak berbelah bagi di majlis yang mulia ini.
3. Juga ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat,
muslimin dan muslimat kariah masjid baitul mahabbah kerana meletakkan kepercayaan kepada saya
untuk mewakili dan seterusnya menerajui Biro Muslimat masjid yang kita sayangi
ini pada penggal yang akan datang..insyaallah. Saya menjadikan kepercayaan ini sebagai
satu medan atau satu peluang yang Allah beri agar saya lebih komited dalam
berbakti demi masyarakat kerana Allah. Dengan
amanah yang begini besar yang telah dipertanggungjawabkan, saya sedar saya
harus lebih berhati2 dalam semua aspek kerana saya tahu bahawa setiap pemimpin akan
ditanya ke atasnya tentang apa yang dipimpin di akhirat kelak.
4.
Sebagai orang baru, saya mohon malah mengharapkan sokongan dan kerjasama yang erat
dari masyarakat, khasnya daripada para muslimat sama ada ahli jawatankuasa atau
tidak untuk kita sama-sama berganding bahu mengimarahkan lagi masjid kita, rumah kasih
Sayang ini. Kerjasama yang ditagih
bukanlah untuk saya, tetapi untuk masiid, untuk masyarakat dan terutamanya
kerana Allah.
5. Pada kesempatan
ini juga, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para ahli jawatankuasa yang
telah bertungkus lumus mengerah tenaga dan idea selama ini dengan penuh
dedikasi serta kesabaran yang tinggi dalam
menjalankan pelbagai aktiviti dan program di masjid yang mulia ini. Kita para
muslimat merasa bertuah kerana mempunyai slot pengajian setiap hari. Padat dan
berkualiti. Walaupun dibatasi waktu dan kesibukan tugas-tugas seharian sebagai
isteri dan ibu, namun para ahli jawatankuasa masih mampu meluangkan masa untuk
mengatur program-program serta mengendalikan kelas-kelas pengajian demi mengimarahkan
lagi masjid kita ini. Syabas dan tahniah! Semoga jasa dan keikhlasan hati
kalian, diberi ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.
6. Ingin saya tekankan, bahawa komitmen, tenaga dan idea para
muslimat sentiasa diperlukan untuk mengimarahkan
masjid yang kita cintai ini di masa2 akan
datang. Tanpa sokongan kalian, siapalah
saya. Tiada individu yang boleh bergerak sendiri. Setiap makhluk di muka bumi
ini saling memerlukan antara satu sama lain. Saya teringat sebuah buku yang
berjudul NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR hasil tulisan penulis tersohor negara ini, Ustaz
Pahrol Mohd Juoi. Terdapat sebuah artikel bertajuk “Hidup Bersama Seperti
Lebah”. Antara isi kandungannya adalah lebah sentiasa bekerjasama tanpa ada
perebutan atau permusuhan. Masing-masing ada tugas. Masing-masing memberi
sumbangan yang sangat berguna untuk kebaikan bersama. Begitu jugalah kita,
sebaik-baik makhluk di mukabumi ini. Kita seharusnya membina hubungan dengan
keadaan ‘menang-menang’ atau win-win situation dan saling memberi manfaat
antara satu sama lain.
7.
Lebah hanya hinggap di tempat yang bersih, segar dan
harum. Begitu jugalah kita sebagai manusia. Sentiasa ingin mencari tempat yang
baik, bersih dan selamat, antaranya di masjid, majlis-majlis ilmu dan tempat
yang menyediakan aktiviti atau program yang membawa kebaikan. Malah kita
seharusnya sentiasa bekerjasama agar dapat menghasilkan kebaikan bersama juga.
Hasil daripada kerjasama itu, dapatlah kita berkongsi pengalaman, iktibar
maupun pengajaran untuk menempuh hari-hari seterusnya. Bukan sekadar untuk
kebaikan di dunia, tetapi yang paling utama untuk kebaikan di akhirat.
8.
Allah Maha Kaya. Maka setiap manusia itu berbeza
samada dari aspek luaran ataupun dalaman, fizikal atau mental. Lebihnya kita,
kurangnya orang. Lebihnya orang, kurangnya kita. Namun kita seharusnya berusaha
mencari titik persamaan dalam meraikan
perbezaan. Kita jadikan perbezaan antara kita sebagai pelengkap antara
satu sama lain untuk menghasilkan kebaikan. Kebaikan pula tidak pernah habis
apabila disebarkan bahkan akan bertambah. Fitrahnya, apa yang kita berikan akan
kembali kepada kita…selalunya dalam bentuk yang lebih baik dan lebih banyak. Semoga
dengan sokongan ikhlas dan padu, kita dapat menjadikan jalinan masyarakat yang
sudah sedia baik ini menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang..aamiin.
Hadirin hadirat yang dikasihi,
9. Saya ingin
mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih yang tidak terhingga kepada tenaga-tenaga pengajar, asatizah yang tidak
pernah jemu mencurahkan ilmu kepada kami di sini. Insyaallah… sumbangan dan bakti kalian masih lagi kami perlukan
pada penggal yang berikutnya.
Dari dunia ke liang lahad
Baiki akhlak baiki hati
Dari Isnin hinggalah Ahad
Ilmu dikutip bersilih ganti.
Semoga ilmu yang dicurahkan sentiasa
mengalir tanpa henti.
10. Saya kira, cukuplah
setakat ini ucapan saya pada kali ini. Maaf dipinta andai ada terkasar bahasa
atau tersilap kata. Insyaalah, kita akan bertemu lagi di lain waktu dengan
semangat yang baru dan pengalaman yang baru. Sama-samalah kita berdoa semoga
ukhwah kita sentiasa terjalin, kerjasama kita sentiasa telus dan pemikiran kita
sentiasa bernas. Mudah-mudahan Allah kurniakan kita hati yang bersih, jiwa yang
tenang serta akal yang panjang dalam apa jua tindakan yang kita ambil.
. Saya akhiri
ucapan saya ini dengan kata2 hikmah;
“Saat kita menanam padi, rumput ikut
tumbuh. Saat kita menanam rumput, tidak pernah tumbuh padi. Maka jangan jemu
berbuat baik. Meskipun kadangkala tidak sempurna..kerana yang sempurna hanyalah
DIA AL-JALIL…ALLAH Yg Maha Sempurna”
Sekian,
Wabillahi taufiq wal hidayah. wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….
syahdinamuza 10nov2015