Ahad, 22 Jun 2014

Marah?


Wahai anakku,
Jangan rasa bersalah kerana kemarahan yang ada pada kamu. Tidak semua kemarahan dilarang oleh Islam. Kamu perlu marah pada perkara yang tidak disukai yang melawan kebenaran sebagaimana yang tertera di dalam buku Tuhanmu. Kamu juga berdosa sekiranya kamu memdiamkan dirimu jika kehormatan peribadi dan agamamu dihinakan.

Namun begitu, wahai anakku, kamu perlu mengenali apa itu kemarahan dan menyedari bila ia mengawasi dirimu. Menurut Imam al-Ghazali, kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.

Wahai anakku,
Meskipun ada perkara yang dibenarkan kamu marah, kamu mesti belajar mengawal kemarahan kamu itu. Rasullulah pernah bersabda, “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.”

Oleh itu, wahai anak kesayanganku, pupuklah sifat menahan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan melakukan ihsan kerana ia boleh menambahkan keimananmu.

Wahai anakku,
Marah umumnya menunjukkan sifat kamu yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua-mata menjadi merah, urat leher pula kelihatan timbul. 

Rasulullah pernah bersabda bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. 

Oleh itu, wahai anakku, ikutlah kata-kata Rasulullah s.a.w yang menyarankan agar kamu mengambil air sembahyang untuk meredakan kemarahan kamu yang setekita itu.

Sesungguhnya di dalam satu Hadis ada tertulis bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu bertindak menurut perasaan marahnya maka Allah akan menyerunya di hari kiamat di hadapan khalayak ramai (sebagai suatu penghormatan) sehingga Allah memberi pilihan kepadanya bidadari yang dia suka.”

Senyum

~ Tuan Ibrahim Tuan Man