Isnin, 5 Ogos 2013

Alkisah 1000 Anak Tangga


Alkisah 1,000 anak tangga

Pada suatu masa dahulu kala…

Di dalam satu perjalanan untuk berjumpa dengan orang tersayang, Udin terserempak dengan satu cubaan rompakan dan Udin telah diselamatkan oleh sahabatnya Ajib.

Ajib cedera parah dalam peristiwa itu. Udin terpaksa mendokong Ajib di belakangnya berjalan mencari tempat pertolongan untuk merawat sahabatnya.

Melihat Udin yang bersusah-susah ter...
paksa mendokong kawannya, seorang penduduk memberitahu Udin, di dalam hutan kira-kira 2km ke arah barat, ada seorang ustaz yang boleh merawat Ajib.

“Ajib ini menyusahkan aku sahaja. Kalau tak pandai lawan, janganlah lagak hero. Tengok sekarang siapa yang susah. Orang tercinta aku sekarang akan marah pada aku kerana engkau,” rungut Udin yang kepenatan sepanjang jalan.

Setibanya di rumah ustaz, Udin hampir pesan melihat terdapat hampir 1,000 anak tangga yang perlu dipanjat sebelum boleh masuk ke rumah ustaz.

Terlintas di fikiran Udin untuk meninggalkan Ajib di bawah tangga sahaja dan membiarkan ustaz penyembuh itu merawat Ajib apabila terjumpa Ajib di bawah tangga rumahnya.

Melihat wajah Ajib yang semakin tidak bermaya, Udin tidak berbuat demikian dan terus panjat anak tangga.

“Ustaz macam ini pun ada. Sengaja menyusahkan orang dengan membuat 1,000 anak tangga. Mana ada di dunia ini, seorang ustaz yang merawat sengaja buat tangga untuk menyusahkan orang yang mencarinya. Kalau tak ikhlas, jangan gelar diri sendiri sebagai ustaz,” kata Udin.

Tiba-tiba di anak tangga ke 500, muncul seorang lelaki tinggi 52 yang tua, berbaju biasa berseluar panjang, botak tengah kepalanya yang duduk di tangga 550 dan berkata: “Tangga ini untuk menguji keikhlasan seseorang. Sekiranya mereka mempunyai azam yang kuat, tangga ini cumalah satu jalan yang lurus.”

Udin terasa dengan kata-kata itu lalu menyampuk.

“Aku merungut seorang diri. Buat kau menyibuk,” selar Udin.

“Mulut aku keluar kata-kata, tidak semestinya kata-kata aku ini ditujukan untuk pendengaran kamu. Tapi telinga kamu telah mengambil kata-kata aku. Kalau nak marah, marah telinga kamu yang dua itu dan bukannya mulut aku yang satu ini,” balas lelaki itu.

Udin panas mendengar.

“Aku ingin bergegas ke pekan berjumpa seseorang. Sahabat saya tercedera. Boleh tak kamu tolong bawa sahabat aku ini ke rumah ustaz di atas untuk tinggal beberapa hari untuk dirawat?” tanya Udin.

Lelaki itu turun melihat Ajib.

“Tak boleh. Sahabatmu bermasalah,” kata lelaki itu.

“Mengapa?” tanya Udin.

“Sebab itu sahabat kamu bukan sahabat aku,” kata lelaki itu.

“Ok. Boleh tak sekurang-kurangnya kamu bantu naik ke atas minta bantuan untuk angkat sahabat aku naik ke atas untuk dirawat ustaz di dalam rumah?” tanya Udin.

“Tak boleh. Di sini hanya ada ustaz seorang. Dia tidak akan bantu kamu untuk membawa sahabat kamu naik ke atas,” kata lelaki tersebut.

“Macammana kamu tahu?” tanya Udin.

“Ustaz itu berkata sahabatmu bermasalah dan lagipun sahabatmu bukan sahabat ustaz,” kata lelaki tersebut.

Udin terkejut mendengar kata-kata itu. “Macam pernah dengar kata-kata itu tadi…”

“Aku tak berbohong. Tadi aku bercakap begitu pada kamu,” jawab lelaki tersebut.

“Maksudnya kamu ialah ustaz. Tapi kamu tak pakai kopiah berserban dan jubah. Langsung tak macam ustaz. Kamu ini penipu,” selar Udin.

“Tak berkopiah berserban dan berjubah tak semestinya bukan ustaz. Yang berkopiah berserban dan berjubah tak semestinya ialah ustaz. Nama aku Rani Ibrahim dan aku tak tipu kamu,” jawab lelaki itu.

“Kamu ustaz. Kamu baca kitab hari-hari, bibirmu penuh dengan ayat-ayat suci, tapi mengapa hatimu begitu keras? Sahabat aku dah nak mati, kamu pun tak nak tolong dan peduli? Ustaz apakah ini?” Udin melenting.

“Aku cumalah seorang yang dipanggil ustaz. Jadi, haruskan aku membiarkan kamu mengabaikan sahabatmu lalu kamu beredar dengan hati yang seronok kerana kamu berjaya membuang tanggungjawabmu pada sahabatmu yang menyelamatkan kamu dengan nyawanya di rumah aku, barulah aku layak digelar sebagai seorang ustaz? Tidakkah tadi aku kata sahabatmu bermasalah, kerana dia ada kawan seperti kamu,” balas Ustaz Rani Ibrahim.

Udin tersentak malu dan memandang melihat wajah Ajib yang kini tidak sedarkan diri.

Udin menoleh semula ke belakang, Ustaz Rani Abdullah telah beredar dan naik ke rumahnya. Udin teruskan mendokong sahabatnya Ajib ke rumah ustaz.

“Hebat ustaz ini. Dia datang merawat hati aku yang tenat dulu kerana dia tahu, jika hati aku sanggup mengabaikan sahabatku, dia juga tidak dapat merawat sahabat aku kerana dia hanya tinggal seorang diri di sini,” bisik Udin sambil penuh yakin bahawa ustaz Rani Ibrahim boleh menyembuhkan Ajib.

Akhirnya kedua-dua mereka sembuh.

Wahai anakku,
Bacalah dengan mata hati ceritaku di atas. Fahamilah isi tersiratnya yang tidak dapat aku huraikan dengan kata-kata lain selain melalui ceritaku di atas. Jangan sesekali kamu di dalam hidupmu yang singkat ini menganggap tiada apa yang kamu boleh pelajari lagi kerana sesungguhnya ilmu yang Allah sediakan tiada penghujungnya.

Senyum Ahad.
~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan