Selasa, 6 Ogos 2013

Cinta Dunia Itu Kepala Segala Kejahatan

Cinta dunia itu kepala segala kejahatan, demikianlah kata hukama. Akibat cinta dunia yang keterlaluan, orang sering takut kehilangannya dan bermati-matian memburunya. Dunia yang sepatutnya hanya diletakkan di tangan, telah diletakkan di hati. Sedangkan hati manusia yang satu itu tidak akan mampu menampung dua cinta. Jika cinta dunia telah menguasainya, cinta Allah akan terpinggir.

Anehnya pemburu dunia ini, yang tidak mendapatnya akan putus asa dan menderita. Manakala yang mendapatnya pula sentiasa berasa tidak puas, turut menderita. Mereka bagaikan meminum air laut, semakin diminum semakin haus. Bukan sahaja jiwa dan hati mereka kelelahan, fizikal dan tenaga mereka juga keletihan. Inilah yang menjadi punca penyakit–penyakit kronik.
Alhasil, kajian di Barat (seperti yang ditulis oleh Dale Carnegie) menunjukkan golongan korporat secara majoriti menghidap salah satu daripada penyakit ini; sakit jantung, barah atau darah tinggi. Kejayaan dalam perniagaan kerap digandingkan dengan penyakit yang dihidapi. Apalah gunanya kejayaan merebut seluruh kekayaan dunia kalau hilang kesihatan. Ingatlah, sekaya mana pun seseorang, sebanyak mana pun harta yang dimilikinya, seseorang hanya dapat makan tiga kali untuk kenyang dalam sehari dan tidur di atas sebuah katil pada satu masa.
Allah SWT telah mengingatkan lagi dengan ayatNYA yang bermaksud;
“Harta benda dan anak-anak mereka (kaum munafik) janganlah mengagumkan engkau kerana Allah hendak menyeksa mereka dengan itu dalam kehidupan dunia dan hilang nyawanya ketika mereka dalam keadaan tidak beriman.” (surah at-taubah 9;55)
“Manusia diberi perasaan mencintai keinginan, misalnya kepada perempaun, anak-anak, kekayaan yang banyak daripada emas dan perak, kuda yang bagus, binatang ternak dan ladang. Itulah kesenangan hidp di dunia dan di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (surah ali-Imran 3;14)
~Ustaz Pahrol Mohamad Juoi~
Buku; Soal Hati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan