Rabu, 4 Disember 2013

Jangan Sampai Ditimpa Bala Dua Kali

Wahai anakku,
Selalu ingatkan diri bahawa jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia.

Sebaliknya, anak kesayanganku, ingatlah bahawa jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya di hari kiamat.

Nabi SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besar...
nya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah.”

Wahai anakku,
Tahukah kamu bahawa orang beriman akan diuji menurut tahap keimanan dan kedudukan mereka di sisi Allah?

Tahukah kamu bahawa bersabar menghadapi bala atau penyakit akan menghapuskan dosa?

Tahukah kamu di antara tanda-tanda seseorang itu disayangi Allah ialah bala ujian yang ditimpakan ke atasnya?

Oleh itu, wahai anakku, kita wajib bersabar atas kesusahan yang menimpa kita agar tidak ditimpa bala dua kali, yang keduanya ialah kerugian luput pahala.

Kerana seseorang yang sabar menghadapi kesusahan hidup adalah sebagai tanda bahawa dia dikasihi Allah. Orang yang tidak dikasihi Allah dilambatkan balasannya iaitu sampai ke hari kiamat.

Maka itu, bersabarlah wahai anakku dalam menghadapi kesusahan kerana kamu akan diberi ganjaran yang setimpal dengan kesusahan yang dihadapi itu.

Jika seseorang yang ingin menjadi hamba yang dikasihi Allah hendaklah dia bersedia menerima ujian yang diturunkan Allah kepadanya, sebaliknya dia yang tidak redha menerima ujian Allah dia akan dibenci Allah.

Senyum
 
~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Tiada ulasan:

Catat Ulasan