Rabu, 4 Disember 2013

Kebaikan Akan Mengundang Kebaikan

Wahai anakku,
Aku sedar betapa payahnya kamu untuk mendapatkan sahabat yang baik, namun kebaikan yang ada padamu akan mengundang kebaikan sahabat yang mendekatimu.

Tidakkah bau harum pada bebunga yang mekar menarik kedatangan lebah bagi menghisap madunya. Dan tidakkah kamu perhati bau busuk dari seekor bangkai akan mengundang langau.

Kamu jangan mengharap kebaikan yang ada pada golongan yang
lalai pada perintah Allah, atau kamu kagum dengan satu dua kebaikan yang dilakukan di hadapanmu, lalu kamu sanggup memejam mata terhadap rasuah, salahguna kuasa, kezaliman dan kemungkaran yang dilakukannya. Lalu kamu war-war kebaikannya, dan kamu diam terhadap kemungkarannya.

Wahai anakku,
Bilamana aku menasihatimu, bukanlah kerana aku tidak yakin kepadamu. Tetapi aku sekadar mengingatkan kamu kepada apa yang boleh melekakan kamu.

Tentulah kamu ingat akan hadis Rasulullah S.A.W, maksudnya "Apabila Allah ingin membinasakan seekor semut, maka Dia akan menumbuhkan sayapnya."

Semut sangat bangga memperolehi sayap, dia rasa hebat boleh terbang keluar dari busut yang melindunginya berbulan- bulan namun bilamana ia terbang sahaja keluar, maka ia terdedah kepada kemusnahan dan kebinasaan.

Senyum
~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Tiada ulasan:

Catat Ulasan