Khamis, 19 Disember 2013

Menghukum atau Mendidik?

Seorang lelaki bertanya kepada Syeikh Muhammad al-Ghazali -rahimahullah-, "Syeikh, apa hukuman buat orang yang meninggalkan sembahyang?"

Syeikh al-Ghazali menjawab, "Hukumannya ialah kamu bawa dia pergi masjid sekali dengan kamu."

Allah, Allah! Betapa hikmahnya jawapan beliau. Inilah kelemahan dan kekurangan kita. Kebanyakan kita bertanyakan hukuman untuk menghukum bukan untuk mendidik atau berd
akwah.

Bukankah bagus kalau orang bertanya, "Apa hukuman orang yang melakukan bidaah?" Lalu kita jawab, "Hukumannya ialah kita bimbing dan beritahu dia bahawa apa yang dilakukannya itu ialah bidaah."

Tetapi sayangnya, jawapan yang biasa kita dengar ialah, "Hukumannya ialah neraka kerana setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan dalam neraka."

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi pernah bercerita:

Saya pernah bertanya seorang pemuda yang berfahaman ekstrim, "Apakah kita boleh meletupkan kelab malam?"

Dia menjawab, "Tentu sekali boleh. Itu tempat maksiat."

"Jadi orang-orang yang terbunuh dalam letupan itu masuk neraka la?" saya bertanya lagi.

Dia menegaskan, "Tentu sekali kerana mereka mati dalam maksiat!"

Saya berkata, "Kalau begitu kamu dengan Iblis tiada beza."

"Kenapa pula?" dia mempersoalkan.

Saya lantas menjawab, "Kerana Iblis memang bercita-cita untuk memasukkan semua orang ke dalam neraka. Kamu pula membantu Iblis dengan menghukumkan orang yang bermaksiat dengan masuk neraka. Sedangkan Rasulullah tidak bersikap begini. Baginda mahukan semua umatnya ke syurga. Tetapi kamu bersikap sebaliknya. Kamu dalam lembah lain dan Rasulullah dalam lembah lain pula."
 
~shared

Tiada ulasan:

Catat Ulasan