Isnin, 22 Julai 2013

Bersendirian vs Teman yang Melalaikan

Bersendirian atau mengasingkan diri (uzlah) adalah ubat terbaik yang nyata terbukti untuk merawat penyakit hati. Bersendirian bukan bermakna mengunci diri dalam peti besi di rumah, tetapi hidup jauh daripada kemungkaran, kekotoran dan perbuatan sia-sia. Gunakan masa yang terluang itu bagi memperbaiki ibadat kepada Allah SWT agar menjadi ahli ibadat yang merdeka beribadat atas dasar cinta.


Penghayatan untuk menjauhi perkara yang bercanggah dengan tujuan kita diciptakan membolehkan kita menghindari majlis yang tidak jelas tujuannya, majlis yang membuang masa dan sia-sia atau majlis yang bercampur dengan maksiat di mana ia mampu mematikan hati serta merosakkan keimanan sendiri.
Pergaulan yang kotor sebegitu akan memberi ruang untuk syaitan berbisik-bisik kepada kita tentang berita bohong yang mampu mematikan semangat untuk mencintaiNya. Syaitan juga akan membisikkan cinta nafsu yang kadang-kadang melalaikan. Kita sudah diperingatkan oleh Allah SWT;
Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain daripada kerosakan belaka’. (at-taubah; 47)
Jika ini mampu dilakukan, pasti kita boleh menjaga lidah dengan menuturkan kata-kata yang baik sahaja, menjaga mata kecuali memandang apa yang digalakkanNya, menjaga telinga dengan mendengar hal yang membantu kita dekat kepada Pemberinya. Dengan menjaga apa yang masuk ke mata, itu bermakna kita membersihkan minda daripada pemikiran negatif. Ini kerana, mata adalah panah yang digunakan iblis bagi mengotorkan minda dan hati hambaNYA.
Cubalah bersendirian dengan cara bermanfaat untuk  diri dan Tuhan. Telah dipesan oleh bijak pandai, jika berteman tetapi dia membuatkan kita jauh daripada Allah SWT, maka lebih baik sendirian tetapi dekat denganNYA. Inilah sebaik-baik nikmat yang tidak harus dipersiakan kerana hidup ini sangat singkat. Jangan satu saat pun yang terbuang sia-sia...
~Dr. Robiah K. Hamzah~
Buku: Pujuklah Rasa


Tiada ulasan:

Catat Ulasan