Khamis, 18 Julai 2013

Kejahatan Itu Racun Yang Manis

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah.  Benarlah seperti yang sering diungkapkan, apabila manusia berdosa, dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang diri sendiri.

Namun, rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.
Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran akan mencengkam hati dan diri. Tiada lagi rasa bersalah.
Wahai diri... ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah ‘peringatan’ yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insan. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itu kan syarat taubat? Jika terlanjur lagi berdosa, bertaubatlah kembali. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.
Wahai diri... biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat  yang tidak ‘menjadi’ berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh ‘nikmatnya’ yang menyebabkan seksa selamanya di akhirat.
 ~ Ustaz Pahrol Mohamad Juoi ~
Buku; Di Mana DIA Di Hatiku
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan