Selasa, 23 Julai 2013

Kita Hanya Pengirim, Semua Allah yang Beri

Alkisah posmen…

Ada seorang pakcik tua suka menerima surat. Setiap hari dia akan menunggu kedatangan posmen.

“Terima kasih banyak-banyak. Anta paling hebat di dunia. Tiap-tiap hari ada surat untuk pakcik,” pakcik itu memuji posmen.

“Pakcik, ana ini penghantar surat sahaja,” jawab posmen itu.

“Tidak. Tanpa anta manalah surat ini dapat datang,” jawab pakcik itu kembali.

...
Pakcik ini menjadi terlalu memuja posmen.

Satu hari, di bulan Ramadan…

Pakcik menunggu surat, tapi posmen tidak berhenti di depan rumahnya.

Untuk 4 hari berturut-turut, posmen tidak berhenti.

Hari ke 5, pakcik tak tahan, lalu menahan posmen.

“Mengapa anta tak hantar surat pada pakcik?” sergah pakcik itu.

“Sebab tak ada surat untuk pakcik,” jawab posmen itu.

“Mana mungkin tak ada surat. Sebelum ini, tiap-tiap hari anta akan hantar surat pada pakcik,” sergah pakcik itu lagi.

“Ana penghantar surat sahaja pakcik. Kalau tak ada orang hantar surat pada pakcik, ana tak ada apa yang boleh hantar pada pakcik,” jawab posmen dengan penuh sabar.

“Kalau tak ada surat, buatlah surat untuk pakcik! Itu pun tak tahu,” jawab pakcik itu.

Selepas seketika, surat pakcik mula datang kembali.

Satu hari, posmen itu memberitahu pakcik, “Besok ada orang baru ganti ana. Ana dah naik pangkat.”

“Habislah surat pakcik,” keluh pakcik itu.

Posmen tidak berkata apa-apa. Besok posmen baru mula menghantar surat pada pakcik. Kebimbangan pakcik bahawa suratnya tidak sampai selepas posmen bertukar hilang bila posmen baru mengirimkan surat kepadanya.

“Bagusnya posmen baru ini. Surat masih datang seperti biasa. Tak sangka tukar posmen pun dapat lagi surat seperti biasa,” kata pakcik seperti biasa.

Anak pakcik yang mengirim surat setiap hari ke pakcik. Di bulan Ramadan, anak pakcik kemalangan masuk hospital, tak sempat kirim surat, tapi juga tak beritahu pakcik kerana bimbang dia risau.

Wahai anakku,
Begitulah kisah di mana pakcik terlalu memuja kebesaran posmen yang menghantar surat kepadanya, sehingga terlupa bahawa surat datang daripada pengirim surat. Sedangkan posmen ini hanyalah pengirim sahaja, tapi pakcik itu terlalu memuja hilang menyangka bahawa suratnya akan hilang jika posmen bertukar orang. Walhal jika ada surat, posmen akan hantarkan walau bertukar orang.

Wahai anakku,
Aku sengaja ceritakan ini untukmu dijadikan tauladan apabila melihat pada rezekimu di bumi sementara Allah ini. Ingatlah anak kesayanganku, rezeki kamu Allah yang tentukan. Manusia, haiwan bahkan tumbuhan boleh jadi pengirimnya - kadangkala kerajaan jadi pengirimnya.

Wahai anakku,
Jangan engkau terlupa hakikat ini sehingga kamu terlalu memuja dan membesar-besarkan tangan yang mengirim rezekimu sehingga ia lebih penting dan besar daripada Tuhanmu. Walhal mereka ini posmen sahaja. Seperti juga bertukar kerja mahupun pemerintah, ia tidak menyekat rezeki yang Allah sudah tentukan untuk kamu. Asalkan engkau teruskan kerja dan berusaha, akan ada pengirim lain sekiranya rezeki itu Allah dah ditentukan untuk kamu. Allah maha Pemurah lagi maha Mengetahui.

Senyum.
 
~ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man ~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan