Jumaat, 19 Julai 2013

Perlu Lakukan vs Suka Lakukan

Dalam hidup ini, manusia akan berhadapan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu dilakukan. Kedua, perkara yang suka dilakukan. Dan sudah menjadi sunatullah, kedua-dua perkara itu saling bertindak bertentangan. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang suka kita lakukan adalah perkara tidak perlu kita lakukan.

Contohnya, solat subuh. Bila hampir masuknya waktu subuh, perkara yang perlu kita lakukan adalah bingkas bangun, membersihkan diri, bersuci dan terus berwudhuk. Itulah perkara yang perlu kita lakukan. Namun apakah perkara yang suka kita lakukan?

Ya, diikutkan rasa, kita suka untuk terus tidur dan bersenang-senang. Subuh itu sejuk, gelap, nyaman... waktu yang paling enak untuk menyambung tidur. Bangun subuh adalah perkara yang perlu, manakala terus tidur adalah perkara yang suka kita buat. Yang mana  satu lebih baik? Tentulah sembahyang itu lebih baik daripada tidur. Tapi apa yang nafsu inginkan? Jawabnya, tidur!.
Jadi, lawanlah nafsu. Tidak ada jalan pintas. Tiada ada jalan singkat. Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk ‘menanam’. Di sana (akhirat) barulah ‘menuai’.  Orang mukmin sentiasa rela bersusah payah untuk melakukan ketaatan, kebajikan dan kebaikan. Hidupnya terlalu sibuk dengan ibadat. Berpindah daripada ibadat khusus kepada ibadat umum dan berpindah kepada ibadat sunat.
Teringat pesanan Sayyidina Ali, "Beribadatlah sehingga kita letih untuk melakukan kejahatan”

 ~ Ustaz Pahrol Mohamad Juoi~
Buku; Di Mana Dia Di Hatiku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan