Selasa, 9 Julai 2013

Bila Iman Kosong...


Watak manusia tidak dapat dibaiki kecuali dengan iman. Ramai yang berkeluh-kesah serta bersedih seolah-olah kesusahan  dan kesedihan itu kekal abadi dan tidak dapat dihilangkan. Lebih malang lagi, mereka menjangka yang masa-masa akan datang itu akan terus menjadi petaka.

Akibatnya, penuhlah hati mereka dengan bermacam-macam kesedihan, keburukan dan duka nestapa. Hingga ke tahap membayangkan yang mereka tidak akan ada pelepasan daripada kesedihan tersebut seumur hidup. Malah mereka juga tidak mengharapkan perubahan daripada Allah. Akibatnya, mereka dimakan kesedihan dan dirobek-robek oleh keluh-kesah. Ini berlaku kerana mereka tidak berlindung dan menggantungkan segala cita-cita serta harapan kepadaNYA.

Bila iman kosong, manusia selalu  diserang sifat kikir ketika mendapat kesenangan dan kikir terhadap kebaikan. Mereka mengira kebaikan dan keberuntungan yng diperoleh itu adalah hasil usaha dan penat jerih sendiri. Lantaran itu, mereka memonopoli kekayaan tersebut sehinggakan diri  sendiri terpenjara lalu menjadi tawanan dan hamba yang rakus pada harta tersebut. Hakikat ini kerana mereka tiada ilmu dan kurang faham yang rezeki sebenarnya datang daripada Allah.

Mereka yang punya iman akan sentiasa tenteram terhadap kekuasaan Allah, merasakan kehadiran rahmatNYA, mampu menerima ujianNYA, selalu melihat dipermudahkan olehNYA daripada kesempitan.

“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh-kesah lagi kikir. Dan apabila mendapat kebaikan, dia amat kikir kecuali orang yang mengerjakan SOLAT dan mereka yang TETAP mengerjakan SOLATnya” (al_Ma’arij; 19-21)
~ Dr Robiah K. Hamzah ~
(Pujuklah Rasa; grupbuku Karangkraf)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan