Sabtu, 27 Julai 2013

Cinta Melahirkan Kata-kata vs Kata-kata Mengharumkan Cinta

Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan menjadi semakin becok. Tetapi lelaki sebaliknya menjadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai selesai.

Manakala lelaki yang dulunya ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (adakalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah. Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin bisu. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata apabila berdepan dengan suami.
Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam seolah-olah tidak apa-apa yang hendak  diperkatakan lagi. Lalu rumahtangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Semacam sudah tidak ada apa lagi yang hendak dikongsi.
Ada kalanya duduk rapat-rapat tetapi sudah tidak bertemu lagi. Tidak ada apa yang dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, suami sibuk memandu. Di sebelahnya isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi mediator secara tidak rasmi. Terhubung jugalah kata-kata atas apa yang ditimbulkanya. Apabila anak-anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.
Benar! Sewaktu mula-mula bercinta dulu, cintalah yang melahirkan kata-kata. tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat! Kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali. Maksudnya , kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (suami/ isteri kita).
Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan kata-kata yang baik. Luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Carilah topik-topik yang menarik untuk diperbualkan. Jangan malu alah untuk memulakan. Cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali.
~Ustaz Pahrol Mohamad Juoi~
Buku; Cinta Kerana Allah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan